suria

Kejelitaan Tidak Cukup Buat Neelofa

Neelofa sememangnya seorang gadis yang cantik tetapi dia harus mempertingkatkan lagi keupayaannya untuk menjadi pelakon yang baik.
Neelofa sememangnya seorang gadis yang cantik tetapi dia harus mempertingkatkan lagi keupayaannya untuk menjadi pelakon yang baik.
Neelofa sememangnya seorang gadis yang cantik tetapi dia harus mempertingkatkan lagi keupayaannya untuk menjadi pelakon yang baik.

SAYA membaca kenyataan pelakon baru yang cun melecun Neelofa yang meminta tidak disamakan dengan Ogy Ahmad Daud menerusi filem Azura 2012 lakonannya.

Filem itu adalah adaptasi daripada filem Azura yang pernah menjadi boxoffice pada tahun 1984 terbitan Sabah Filem. Selain Ogy, hero filem itu ialah Jamal Abdillah.

Saya sudah menyaksikan pra tonton Azura 2012 pada 30 Januari lalu yang diadakan di One Utama, Petaling Jaya.

Harapan saya tinggi menggunung untuk melihat sesuatu yang luar biasa terhadap sesebuah filem yang diadaptasi daripada filem.

Kebanyakan karya filem pada hari ini diadaptasi daripada novel-novel tertentu seperti Ombak Rindu umpamanya.

Perasaan saya agak hancur selepas menilai kualiti filem Arahan Aziz M.Osman ini kerana kualitinya hanyalah seperti sebuah telefilem 40 minit.

Mungkin pihak produksi Azura 2012 agak terasa dengan kenyataan ini tetapi bagi saya, fakta adalah fakta. Jika filem ini tidak baik, saya harus jujur untuk berkata sebegitu.

Dan Aziz sendiri siang-siang lagi sudah bersedia untuk menerima kritikan selepas pra tonton filem berkenaan dilakukan.

Saya tidak mahu menyentuh mengenai jalan cerita filem ini. Sesiapa yang pernah menonton Azura terbitan tahun 1984, pasti akan dapat mengagak temanya iaitu anak orang kaya yang hendak berkahwin dengan orang bisa tanpa restu keluarga.

Kelemahan ketara dalam filem ini apabila Neelofa gagal membawa watak Azura dengan baik.

Pelakon jelita ini minta tidak dibandingkan dengan Ogy. Saya setuju kerana lakonan Neelofa jauh ketinggalan.

Neelofa tidak mempunyai jiwa sebagai pelakon. Azura 2012 memperlihatkan kelemahan ketara buat dirinya.

Saya pasti Aziz memancing Neelofa untuk naskhah ini adalah kerana kejelitaan yang dimilikinya tetapi sayang sekali, kejelitaan yang ada pada gadis ini tercemar kerana kegagalannya untuk menjiwai watak yang diberikan kepadanya.

Saya tidak menyalahkan Neelofa seratus peratus sebaliknya Aziz juga dilihat gagal membentuk pelakon baru ini. Malah ketika bakatnya masih belum teruji, Neelofa yang tidak berpengalaman sebagai pelakon telah diberi peranan utama.

Akhirnya ia menjadi seperti tikus membaiki labu.

Dan sebagai pelakon baru, Neelofa mempunyai hak untuk menolak mana-mana tawaran sekiranya dia memikirkan belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan itu dek kerana pengelaman cetek dalam bidang seni.

Seperti mana yang pernah saya katakan, bukan mudah untuk bergelar pelakon iaitu terpaksa menjadi orang lain di hadapan kamera.

Saya percaya Neelofa begitu takut dengan kritikan dan cercaan selepas penonton melihat keberkesanan lakonannya dalam naskhah pertama ini.

Tetapi apabila penonton membayar tiket untuk menyaksikan sesebuah karya itu, penonton tidak mahu mendengar permintaan maaf Neelofa sekalipun sebaliknya yang mereka ingin cari ialah kehebatan filem yang mereka tonton.

Kegagalan Neelofa dalam filem ini harus diberi perhatian. Kecantikan saja tidak cukup untuk memikat hati orang ramai tetapi apa yang penting sejauh manakah seseorang itu mampu membuat hati penonton tersentuh dengan kehebatan seorang pelakon.

Azura 2012 menemui penonton di pawagam bermula 2 Februari 2012.

NIEZAM: Sedang meneropong taktik-taktik pelakon baru yang suka sangat "berlakon".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain