Bekas Dekan UiTM Dihukum Penjara - Semasa | mStar

Bekas Dekan UiTM Dihukum Penjara

PUTRAJAYA: Bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Md Saberi Md Salleh dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara setahun selepas rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan kerana kesalahan mengesahkan invois palsu, ditolak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan tertuduh mempunyai niat untuk mengelirukan sedang dia tahu peralatan sukan itu tidak dibekalkan kepada universiti berkenaan.

Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohtaruddin Baki, menolak rayuan Md Saberi bagi mengetepikan sabitan terhadapnya.

Bagaimanapun, panel itu membenarkan rayuan tertuduh berhubung hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengurangkannya kepada setahun.

Dalam penghakimannya, Hakim Sulaiman berkata hukuman penjara tiga tahun terlalu berat memandangkan ini adalah kesalahan pertama Md Saberi.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan yang dijatuhkan terhadap tertuduh, yang membayar denda itu.

Sementara itu, panel tersebut melepas serta membebaskan seorang ahli perniagaan wanita Zaleha Abd Rahman, 52, setelah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM10,000 kerana bersubahat dengan Md Saberi.

Hakim Sulaiman memutuskan pendakwaan gagal membuktikan Zaleha, pemilik syarikat pembekal barangan sukan, mempunyai niat dan pengetahuan bahawa Md Saberi hendak mengelirukan universiti itu.

Md Saberi didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 15 Okt 2008 atas pertuduhan mengesahkan invois palsu bertarikh 4 Mac 1999 yang menyebut seunit 'Multi-joint 2 AP' berharga RM138,000 telah diterima fakultinya, sedangkan peralatan sukan itu tidak dibekalkan.

Md Saberi dan Zaleha dituduh melakukan kesalahan itu di fakulti berkenaan di kampus UiTM Shah Alam antara 24 Mac dan 2 April 1999 dan dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pada 17 Februari 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman penjara. Bagaimanapun, mereka dibenar menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulkarnain Hassan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Anwar Khianati Palestin, Dunia Islam

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain