suria

Pertikaian Peminjam & PTPTN Ditetapkan 13 Feb

KUALA LUMPUR: Mahkamah Seksyen menetapkan 13 Februari untuk membuat keputusan mengenai permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membatalkan saman seorang peminjam pinjaman tabung itu.

Hakim Unaizah Mohd menetapkan tarikh itu selepas kes tersebut disebut semula di sini, Selasa.

Pada 20 September tahun lepas, pegawai bank Mandeep Singh memfailkan saman itu di Registri Sivil Mahkamah Sesyen terhadap PTPTN kerana memfitnah dan menangkapnya secara salah berikutan beliau disenarai hitamkan atas dakwaan gagal menyelesaikan pinjaman pengajiannnya.

Peguam beliau, Abdul Malik Hakim memberitahu pemberita bahawa PTPTN telah memfailkan untuk membatalkan permohonan itu atas alasan bahawa tindakan itu yang dikemukakan oleh plaintif (Mandeep) berkaitan isu-isu perlembagaan di mana Mahkamah Tinggi hendaklah memutuskan mengenai perkara berkenaan.

Beliau berkata, PTPTN juga menyatakan bahawa mengikut Seksyen 22 Akta PTPTN, mereka berhak melarang penuntut yang gagal membuat pembayaran daripada meninggalkan negara.

Dalam kenyataan tuntutan, Mandeep, 27, memohon RM19,000 bagi kemudaran khas untuk tiket penerbangan dan tempahan hotel, faedah, kos dan bayaran lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau berkata, mengikut perjanjian pinjaman pengajian bertarikh 9 November 2006, PTPTN bersetuju meminjamkan beliau RM48,000.

Mandeep mendakwa bahawa beliau ditahan oleh para pegawai Imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang pada 6 Julai tahun lepas, ketika beliau hendak berlepas ke Guangzhao, China untuk bercuti.

Kata Mandeep lagi, beliau kemudian dimaklumkan oleh para pegawai itu bahawa namanya telah disenarai hitamkan dalam pangkalan data Imigresen.

Bagaimanapun, beliau berkata PTPTN gagal memadamkan namanya daripada pangkalan data itu sungguhpun beliau telah memaklumkan kepada PTPTN untuk berbuat demikian.

Berikutan itu, Mandeep mendakwa beliau dihina di khalayak ramai dan insiden itu mencemarkan reputasinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain