suria

Polis Temui Ubat-Ubatan Yang Dicuri Di Hospital

KUALA LUMPUR: Polis telah menemui ubat-ubatan bernilai RM1.07 juta yang dilaporkan dicuri dari Bahagian Farmasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata dengan penemuan ubat-ubatan itu dan penangkapan tiga lelaki, beliau percaya kes itu telah diselesaikan.

Dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat polis Kuala Lumpur, Selasa, beliau mendedahkan butir-butir kes yang membawa mereka kepada penemuan ubat-ubatan tersebut dalam sebuah tong dan bagaimana ianya dicuri.

Beliau berkata kehilangan 16 jenis ubat-ubatan mula dikesan oleh kaki tangan hospital pada pukul 7.25 pagi pada 27 Disember ketika membuat pemeriksaan inventori.

Kaki tangan hospital membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan warganegara asing yang bekerja sebagai tukang cuci di hospital. Imej CCTV telah menunjukkan lelaki terbabit dan rakannya membawa keluar puluhan beg mengandungi ubat yang kemudiannya dibawa keluar dengan dua buah kereta.

"Dua hari kemudian, polis menahan seorang ahli farmasi yang bekerja di hospital dan pada hari Tahun Baru, polis menahan suspek ketiga yang bekerja sebagai ahli farmasi di Hospital Temerloh di Pahang.

"Siasatan berikutnya, pada 1 Januari pukul 7.30 petang di mana polis pergi ke tempat letak kereta kompleks kerajaan Jalan Duta dan mendapati beg-beg kanvas berisi ubat-ubatan yang dicuri di dalam sebuah tong besar," katanya.

Jelas beliau, polis masih menyiasat jika terdapat lebih banyak suspek.

Dipercayai ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat gangguan saraf dan gejala mental itu, boleh menyebabkan kesan sampingan seperti meningkatkan khayalan yang mana ianya dicari oleh penagih dadah.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek bekerja bagi pihak sindiket dan mencuri ubat-ubatan untuk tujuan pengedaran. Beliau menambah ini adalah insiden pertama yang dilaporkan berlaku di hospital dan di Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga mereka yang berumur antara 21 hingga 36 tahun, telah ditahan reman sehingga Rabu dan sedang disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel Lain