suria

Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Di Sungai Siput

SUNGAI SIPUT: Seorang wanita warga emas rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Simpang Jalung, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Azman Salim berkata Wong Siew Moy, 76, ditemui rentung di dalam bilik rumahnya pada 11.35 malam selepas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat selesai memadamkan kebakaran.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Azman berkata ketika kejadian, Wong, yang belum berkahwin, tinggal seorang diri dan menjalankan perniagaan barangan runcit kecil-kecilan di rumahnya.

Kejadian disedari oleh jirannya yang kemudian menghubungi bomba.

Katanya pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berkejar ke tempat kejadian, mengambil masa satu jam untuk memadamkan kebakaran rumah yang diperbuat daripada papan itu.

Punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain