suria

Yayasan Wilayah Persekutuan Peruntuk RM1j Bantuan Persekolahan 5,000 Pelajar

KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi program bantuan persekolahan kepada 5,000 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan berkata bantuan persekolahan itu diberikan dalam bentuk baucer pakaian sekolah, sepasang kasut dan tiga pasang stokin, satu beg sekolah serta wang bernilai RM100 setiap seorang.

"Bantuan dikenali sebagai bantuan 1Malaysia, dan ia boleh dinikmati oleh semua kaum terutamanya golongan yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan," katanya kepada wartawan selepas menghadiri program tersebut di Stadium Badminton Cheras di sini, Khamis.

Beliau berkata, seramai 300 pelajar India telah menerima bantuan persekolahan bagi musim persekolahan 2012.

Bantuan itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan ibu bapa dan penjaga berpendapatan rendah, dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua para pelajar, katanya.

Saravanan berkata, program berikutnya akan diadakan di Labuan Ahad ini, diikuti dua lagi sesi di ibu negara dan Putrajaya, masing-masing pada 20 dan 22 Disember ini.

"Kementerian juga sedang meminta kerajaan pusat untuk menambah dana bagi Yayasan Wilayah Persekutuan untuk menjayakan program-program berbentuk bantuan kepada rakyat yang memerlukan," katanya.

Di samping itu, Yayasan Wilayah Persekutuan juga menjadi perantaraan bagi pihak kerajaan untuk mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) bernilai RM500.

Yayasan itu yang ditubuhkan pada 1986 bertujuan menerima, mengumpul dan menguruskan dana supaya dapat memberikan perkhidmatan dan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan yang memerlukan dalam pelajaran, kesihatan, kebajikan dan sosial serta ekonomi penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain