suria

Penduduk Kampung Seri Aman Akan Dapat Geran Tanah Dengan Syarat

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan memberikan tapak rumah seperti yang diminta oleh penduduk-penduduk Kampung Seri Aman, Ijok tetapi mereka perlu membayar premium tanah dan kos pembangunan prasarana, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Premium RM1,000 akan dikenakan bagi tapak rumah manakala kos infrastruktur seperti jalan dan perparitan masih belum ditentukan lagi, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Menanam Pokok di Cahaya SPK, sebuah projek perumahan yang dibangunkan oleh Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd di Seksyen U9, di sini Isnin.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam bahawa lebih 150 penduduk kampung itu menolak cadangan Abdul Khalid supaya kerajaan negeri membina rumah kepada mereka dan mahu hak milik tanah sendiri.

Abdul Khalid berkata prasarana itu perlu dibina di Kampung Seri Aman untuk mengelakkan banjir dan beliau tidak mahu selepas mereka bergembira menerima tanah sendiri namun kemudian memarahi kerajaan kerana tidak menyediakan prasarana bagi mengelakkan banjir.

"Saya tahu daripada segi politik kita sepatutnya bagi saja... daripada segi pentadbiran kalau kita bagi sahaja masalah itu akan berterusan, jadi pejabat daerah asyik sibuk nak bagi beras bila banjir," katanya.

Abdul Khalid berkata antara sebab kelewatan kerajaan memberi tanah itu ialah terdapat satu kes mahkamah di antara kerajaan negeri dan pemaju tanah itu yang hanya dapat diselesaikan pada 26 Okt 2011.

Akhbar hari ini melaporkan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Seri Aman, Robert Vanathaiya, 58, berkata kerajaan negeri terdahulu telah meluluskan tanah lot premium untuk dibahagikan kepada penduduk sejak 2007.

Beliau mendakwa Abdul Khalid, semasa berkempen pada pilihan raya umum 2008, berjanji akan memberikan geran tanah kepada penduduk kampung itu dalam tempoh tiga bulan selepas memenangi pilihan raya.

Sementara itu, Abdul Khalid meminta Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah M.Manoharan membuat kajian mengenai pemaju-pemaju yang tidak mengikut peraturan pembangunan sejak 10 hingga 15 tahun lepas supaya kerajaan negeri dapat melihat kaedah pembangunan yang mereka gunakan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Manoharan di dalam akhbar hari ini bahawa Menteri Besar lewat menyalurkan peruntukan khususnya di Klang menyebabkan penduduk di kawasan yang kerap menghadapi banjir menderita.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk membina kawasan tadahan di luar Klang bagi menampung lebihan air hujan kerana Bandar Diraja itu sudah tidak ada kawasan sesuai bagi kawasan tadahan.

Oleh itu, katanya kawasan tadahan akan dibina di luar Klang dan akan disambung menggunakan paip bawah tanah yang menelan belanja yang tinggi dan akan mengambil masa. - BERNAMA

Artikel Lain