suria

12 Tahun Edar Dadah Akhirnya Tumpas

KUALA LUMPUR: Kelicikan seorang lelaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Brickfields sehingga dapat mengelak daripada ditangkap selama 12 tahun berakhir juga apabila ditahan bersama tiga rakannya dalam satu serbuan petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata lelaki berumur 30 tahun itu yang juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah tidak pernah ditahan sepanjang penglibatannya dalam jenayah itu.

Beliau berkata hasil maklumat orang ramai sepasukan polis menyerbu sebuah stor di tingkat bawah sebuah bangunan di Jalan Bukit Pantai dan menahan lelaki itu serta tiga rakannya.

"Lima bungkusan berisi daun kering dipercayai ganja seberat 587 gram bernilai RM1,200 telah dirampas," katanya kepada pemberita.

Wan Abdul Bari berkata lelaki itu serta tiga rakannya yang berumur antara 23 hingga 27 tahun yang merupakan pekerja syarikat pengurusan bangunan itu juga didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan. - BERNAMA

Artikel Lain