suria

Lebih 50 Peratus PKS Terengganu Tidak Beri Perhatian Serius Kesihatan Pekerja

KUALA TERENGGANU: Lebih 50 peratus daripada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri Terengganu didapati tidak memberi perhatian serius dan melaksanakan amalan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSHMS).

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri Zulkifli Yahaya berkata keadaan itu menyebabkan semua syarikat IKS terbabit terdedah kepada bahaya kemalangan yang boleh berlaku kepada pekerja di tempat kerja selain penjagaan kesihatan pekerja tidak teratur.

"Walaupun sektor IKS belum lagi mencatatkan kes kemalangan maut di tempat kerja tetapi kita mendapati lebih 50 peratus sektor itu di negeri ini tidak memberi perhatian kepada OSHMS," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Peraturan OSHMS 2011 Tata Amalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 (ICOP IAQ) Penaksiran Risiko Bahan Kimia kepada Kesihatan Pekerja Secara Generik (Generik CHRA) di sini Rabu.

Beliau berkata berkata kes kemalangan maut di tempat kerja di negeri masih rendah, dengan sektor industri pembinaan paling ramai membabitkan empat kes sepanjang tahun ini diikuti sektor perdagangan dua kes dan perkilangan satu kes.

Zulkifli berkata sektor industri kimia dan petroleum di negeri ini mematuhi dan mempunyai tahap penjagaan kesihatan dan keselamatan pekerja yang tinggi.

Katanya, majikan sektor berkenaan menyedari kesan bahaya yang boleh berlaku kepada pekerja jika tidak memberi perhatian tinggi dalam soal pengurusan bahan kimia dan petroleum yang amat sensitif kepada keadaan sekitar jika tidak ditangani dengan baik.

Majikan juga perlu mengambil kira daripada segi kerugian kos apabila seseorang pekerja ditimpa kemalangan terutama bagi pekerja mahir selain nasib masa depan pekerja itu sendiri, katanya.

Seramai kira-kira 160 peserta dari Kelantan, Pahang dan Terengganu yang terbabit dalam sektor perkilangan, industri kimia, pembinaan dan IKS menyertai seminar sehari itu. - BERNAMA

Artikel Lain