suria

Akauntan Palsukan 40 Tanda Tangan Dipenjara Lima Tahun

SHAH ALAM: Seorang akauntan sebuah pusat bersalin dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 40 pertuduhan memalsukan tanda tangan pada cek dan satu pertuduhan pecah amanah tahun lepas.

S.Paramjothy, 60, yang juga pentadbir pusat bersalin berkenaan, dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan memalsukan tanda tangan dan hukuman penjara setahun bagi kesalahan pecah amanah.

Hakim Mohd Fadhir Harun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 3 November lepas.

Mahkamah bagaimanapun tidak menjatuhkan hukuman sebatan kerana mengambil kira usianya.

Paramjothy mengaku bersalah terhadap 40 pertuduhan memalsukan tanda tangan bagi 37 keping cek UOB dan tiga keping cek Hong Leong Bank Berhad yang kesemuanya bernilai RM354,950 dengan niat menyebabkan kerugian kepada Syarikat Sri Damodaram (M) Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di premis syarikat berkenaan di Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Telok Gadong, Klang dekat sini, antara 1 Oktober 2010 hingga 28 Disember 2010.

Mengikut fakta kes, Paramjothy bekerja di syarikat itu sejak 14 Jun tahun lepas dengan pendapatan RM4,000 sebulan dan antara tugasnya ialah menyimpan buku cek.

Perbuatannya terbongkar apabila pada 18 Februari lepas, pengadu kes itu iaitu pemilik syarikat berkenaan Dr K.Damodaram, menerima panggilan daripada UOB dan Hong Leong Bank memaklumkan bahawa syarikatnya tidak cukup wang untuk melepaskan bayaran.

Terdahulu, Paramjothy yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan isterinya baru meninggal dunia tiga minggu lepas kerana menghidap kanser.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairus Ismail yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain