suria

5,156 Pusat Pemindahan Bagi 1.4 Juta Mangsa Banjir Disediakan

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyenaraikan 5,156 buah pusat pemindahan yang boleh menampung 1.4 juta mangsa banjir di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata 28,000 anggota daripada agensi-agensi berkaitan telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia daripada segi aset darat, air dan udara.

Katanya Jabatan Meteorologi telah melaporkan bahawa beberapa negeri di Semenanjung Malaysia selain Sabah dan Sarawak akan menerima lebihan hujan antara 20 dan 40 peratus berbanding tahun lepas dalam tempoh antara November ini hingga Mac tahun hadapan.

"Tahun lalu ada banjir, tetapi kita ramalkan tahun ini mungkin lebih sedikit.

"Jika ramalan itu tepat, kita telah buat persiapan lebih rapi dan terperinci dari tahun lalu. Kita sudah bersedia untuk menghadapi segala bentuk bencana banjir," katanya kepada pemberita di sini, Selasa selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai persiapan banjir.

Muhyiddin berkata negeri-negeri yang dijangka menerima hujan yang tinggi ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

Fenomena air pasang besar pula diramalkan akan berlaku pada 25 Disember ini dan 23 Januari tahun depan.

Muhyiddin berkata aset seperti bot penyelamat, trak, kenderaan pacuan empat roda, helikopter, pam air dan set janakuasa elektrik diletakkan di tempat-tempat strategik iaitu berdekatan dengan kawasan yang berisiko banjir, bagi memudahkan ia digerakkan bagi tujuan menyelamatkan mangsa banjir.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diminta untuk melaksanakan penyelenggaraan terhadap sungai dan longkang supaya ia tidak tersumbat bagi menghadapi musim tengkujuh ini terutamanya di kawasan yang berisiko dilanda banjir.

Kementerian Pelajaran pula telah mengaktifkan persediaan menghadapi banjir di sekolah-sekolah yang terlibat, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Dewan-dewan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia adalah di tingkat satu bangunan sekolah terutama sekali bagi pusat-pusat peperiksaan yang diramal berisiko dilanda banjir, katanya.

Muhyiddin berkata 510 buah sekolah yang digunakan bagi tujuan peperiksaan telah dikategorikan sebagai berisiko dilanda banjir iaitu 96 buah sekolah menengah dan 414 buah sekolah rendah membabitkan 201,543 orang pelajar.

Sebanyak 2,459 buah sekolah i 120 daerah dan kawasan akan digunakan sebagai penempatan sementara bagi mangsa banjir.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mewujudkan depot bekalan keperluan bencana di lima wilayah serta 477 pangkalan hadapan.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta media elektronik swasta telah diminta supaya menyediakan kapsul maklumat bencana bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai langkah berjaga-jaga semasa banjir.

Muhyiddin berkata Jabatan Penyiaran juga akan menyediakan slot kepada Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menyampaikan maklumat ramalan cuaca serta amaran awal dari semasa ke semasa kepada rakyat melalui media elektronik.

"Orang awam terutama mereka yang tinggal di kawasan yang sentiasa dilanda banjir perlu sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berpindah dan ibu bapa juga disarankan lebih bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan anak masing-masing dengan melarang mereka daripada bermain air banjir.

Muhyiddin berkata kerajaan menyambut baik penglibatan sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dalam pengurusan bencana, lebih-lebih lagi di pusat pemindahan.

Katanya bagi bantuan wang tunai, kerajaan mengalu-alukan sumbangan orang awam dan sektor korporat ke tabung bantuan bencana yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara, dikenali Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara, bagi mengurangkan beban mangsa seperti membaiki rumah yang rosak.

Muhyiddin kemudian melancarkan portal banjir MKN sebagai portal maklumat terpusat mengenai situasi banjir bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan maklumat ramalan cuaca, amaran paras sungai, jalan yang ditutup serta maklumat lain daripada agensi berkaitan melalui http://portalbanjir.mkn.gov.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain