suria

Zulhasnan Buktikan Beliau Tidak Berhutang Apa-Apa Dengan NFC

Invois pembelian yang dikeluarkan pada 17 Disember 2008
Invois pembelian yang dikeluarkan pada 17 Disember 2008
Invois pembelian yang dikeluarkan pada 17 Disember 2008

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique menjelaskan pada Khamis bahawa pusat khidmatnya tidak berhutang apa-apa dengan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) kerana semua pembelian lembu korban yang dibuat pada tahun 2008 telah dibayar sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Zulhasnan yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berkata, kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa pihaknya masih berhutang RM70,000 dengan NFC adalah palsu dan berniat jahat.

"Saya ingin membuat penjelasan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR yang dipetik oleh laman web Malaysiakini.com dan The Malaysian Insider berhubung pembelian lembu bernilai RM70,000 daripada NFC.

"Untuk makluman, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa memang telah membuat pembelian sebanyak 25 ekor lembu bagi tujuan aktiviti korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun 2008. Lembu-lembu yang bernilai RM70,000 ini telah diserahkan oleh NFC kepada Pusat Khidmat ini pada 6 Disember 2008.

"Walaubagaimanapun, invois pembelian tersebut hanya dikeluarkan pada 17 Disember 2008 (No. Inv. NFC/1089/08) dan telah dihantar menerusi faks ke Pusat Khidmat ini pada 28 Januari 2009.

"Selepas menerima invois berkenaan, Pusat Khidmat ini telah membuat pembayaran penuh menerusi Cek Maybank Bernombor 121310 bertarikh 29 Januari 2009. Cek tersebut telahpun diserahkan kepada NFC pada hari yang sama ia dikeluarkan," jelas Zulhasnan.

Oleh yang demikian, tegas beliau, kenyataan Ahli Parimen Machang itu tentang hutang tersebut adalah berniat jahat dan adalah satu manipulasi fakta yang cuba untuk menimbulkan keresahan politik, bahawa kononnya beliau adalah seorang yang tidak amanah.

Artikel Berikut

Artikel Lain