suria

Eksploitasi Isu Penggantungan Aziz Bari: Politik Murahan Pembangkang – Ezam

PETALING JAYA: Tindakan pemimpin pembangkang mengeksploitasi isu penggantungan tugas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari disifatkan sebagai ‘politik murahan’.

Menurut Senator Ezam Mohd Noor, ada dua perkara penting dalam isu penggantungan tugas Abdul Aziz kerana melibatkan kepentingan negara.

“Saya bangga dan menyokong tindakan tegas serta pantas pihak pentadbiran UIAM terhadap Abdul Aziz kerana ia membabitkan dua asas penting iaitu institusi agama dan institusi raja di negara ini.

“Jelas ini membuktikan sikap politik murahan yang diamalkan oleh pemimpin pembangkang. Mereka (pembangkang) gunakan isu penggantungan tugas Abdul Aziz untuk meraih sokongan politik,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak pentadbiran UIAM mengeluarkan surat tunjuk sebab dan menggantung tugas Abdul Aziz kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

Minggu lalu, Abdul Aziz yang juga pakar perlembagaan didakwa mengeluarkan kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) itu bukan sesuatu yang lazim dan menyifatkannya sebagai tidak konsisten.

Mengulas lanjut, Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata pembangkang hanya mendiamkan diri dalam isu penamatan kontrak Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus sebagai Naib Canselor Universiti Selangor pada 2008 dan peletakan jawatan (Unisel) Datuk Dr Rosti Saruwono Ogos lalu jelas menunjukkan mereka tidak berani bersuara.

“Isu peletakan jawatan di Unisel jelas bermotifkan politik. Tapi kenapa mereka (pemimpin pembangkang) diam sahaja. Ini jelas membuktikan sikap mereka yang ‘pilih bulu’ dalam mengeksploitasi sesuatu isu.

“Justeru, pemimpin seperti ini perlu diberi perhatian kerana mereka hanya akan memusnahkan tokoh politik bertanggungjawab seperti mereka,” katanya.

Antara pemimpin pembangkang yang menentang penggantungan tugas Abdul Aziz ialah Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong, dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perbuhungan Umno Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed pula, menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang menentang penggantungan tugas Abdul Aziz sebagai ‘ada udang di sebalik batu’.

“Nampak jelas mereka ada agenda tersembunyi. Mungkin Abdul Aziz kerap kali memberi kenyataan yang berpihak kepada mereka maka pembangkang menyokongnya.

“Kita lihat macam ada agenda tersembunyi di sebalik sokongan yang diberikan itu. Sedangkan dalam isu Unisel mereka senyap kerana takut untuk bersuara kerana ia melibatkan isu dalaman dan jelas peletakan jawatan Dr Rosti disebabkan oleh tekanan politik daripada pejabat Menteri Besar Selangor,” katanya.

Pada tahun 2008, Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus ditamatkan perkhidmatannya tanpa sebab yang munasabah.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga pengerusi Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd iaitu pemilik dan pentadbir Unisel.

Bukan itu sahaja, Ogos lalu, Unisel sekali lagi dilanda kontroversi apabila Naib Canselornya Datuk Dr Rosti Saruwono terpaksa melepaskan jawatannya setelah dikatakan menerima tekanan politik daripada kerajaan negeri.

Beliau dikatakan tidak bersetuju dengan surat yang terima daripada pejabat menteri besar memintanya supaya menamatkan perkhidmatan tiga pegawai Unisel tanpa melalui proses tatatertib dan juga peraturan dalaman.

Artikel Lain