suria

Rompakan: Kedai Emas Kerugian Hampir RM500,000

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh lima minit, sebuah kedai emas di Jalan Chow Kit di sini kerugian hampir setengah juta ringgit dalam kejadian rompakan bersenjata pada Jumaat. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata tiga lelaki yang memakai topi keledar penuh serta bersenjatakan pistol memasuki premis berkenaan kira-kira 1.45 tengah hari dan mengacukan senjata ke arah dua pekerja.

Mereka kemudian mengarahkan pekerja berkenaan menyerahkan tiga dulang emas dan suspek hanya mengambil masa lima minit menuang barang kemas dari dulang-dulang berkenaan ke dalam beberapa buah beg plastik sebelum melarikan diri menggunakan dua motosikal yang berada berhampiran premis itu.

Premis berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan namun dilengkapi dengan kamera litar tertutup dan ketika kejadian terdapat dua pelanggan di dalamnya, katanya kepada pemberita di sini.

Ku berkata motosikal jenis Modenas yang digunakan ketiga-tiga suspek, dalam lingkungan 30-an, dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya kamera litar tertutup itu berjaya merakam imej ketiga-tiga perompak terbabit.

"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain