suria

Kerajaan Diminta Naikkan Elaun Askar Wataniah

JOHOR BAHARU: Kerajaan diminta mempertingkatkan elaun dan pelbagai kemudahan lain yang diterima oleh anggota Askar Wataniah (AW) bagi membolehkan usaha menarik lebih ramai rakyat menyertai pasukan sukarela itu mencapai kejayaan.

Mejar Sazali Abdul Hamid yang telah menganggotai pasukan sukarela itu sejak 31 tahun lepas berkata usaha kerajaan memberi sumbangan kepada bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang bertugas ketika darurat serta balu mereka dalam Belanjawan 2012, juga perlu dipertimbangkan kepada anggota AW.

"Kerajaan mungkin terlupa atau terlepas pandang terhadap kebajikan anggota Askar Wataniah seperti kami, yang merupakan barisan pertahanan kedua negara selepas anggota tetap," katanya yang mengetuai Kompeni B, Batalion Pertama Rejimen 501 AW di sini, Isnin.

Sazali berkata elaun yang diterima sebanyak RM5.80 sejam bagi pegawai AW dan RM4.00 sejam oleh anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) perlu ditingkatkan bagi memastikan usaha kerajaan untuk mencapai ratio seorang anggota tetap bersamaan dua anggota sukarela Wataniah menjelang tahun 2020 tercapai.

Selain itu katanya, anggota AW yang telah tamat perkhidmatannya juga perlu diberikan peluang menjalani pelbagai latihan kemahiran sebagaimana yang ditawarkan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) kepada anggota tetap yang telah bersara.

Penyertaan di dalam latihan kemahiran Perhebat itu katanya, merupakan di antara kemudahan yang amat dialu-alukan oleh anggota AW dan mampu menjadikan keanggotaan di dalam AW menjadi lebih menarik kepada masyarakat awam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain