suria

Empat Lelaki Ditahan Samun Tayar Terpakai Bernilai RM65,000

PETALING JAYA: Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan melarikan sebuah treler membawa kontena muatan tayar terpakai bernilai hampir RM65,000 di sebuah kilang tayar di Bandar Bukit Puchong, di sini malam Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pada malam kejadian tersebut, pihaknya menerima laporan daripada pengawal keselamatan kilang tersebut berhubung insiden samun yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam.

"Pengawal itu mendakwa beliau didatangi empat lelaki yang kesemua bersenjatakan parang dan menyerang mangsa sebelum mengikat dan mencampaknya ke longkang berdekatan.

"Suspek kemudian melarikan sebuah treler yang sarat berisi 319 tayar terpakai bernilai hampir RM65,000. Pengawal kemudian berjaya melepaskan ikatan kira-kira 15 minit sebelum membuat laporan polis berdekatan, katanya pada sidang media di Balai Polis Mutiara Damansara di sini, Selasa.

Menurutnya dengan bantuan maklumat yang lengkap dan tepat mengenai samun tersebut seperti nombor pendaftaran treler, polis berjaya mengesan lokasi terakhir kontena treler tersebut.

Katanya kontena itu dikesan berada di tanah rezab Pelangi Damansara enam jam kemudian namun treler tersebut tidak ditemui.

Jelasnya, pihaknya kemudian menunggu di lokasi tersebut sehingga kira-kira pukul 10 pagi sebelum empat lelaki menaiki dua buah kereta masing-masing Perodua Myvi dan Toyota Corolla muncul di kawasan terbiar itu.

"Tindakan pantas kami dapat menangkap kesemua suspek yang cuba membuka kontena tersebut. Siasatan awal mendapati dua suspek adalah penjual dan dua lagi pembeli tayar.

"Namun empat suspek itu bukanlah mereka yang menyamun dan melarikan treler dan kontena tersebut. Tayar tersebut dipercayai baru sampai dari Johor Bahru dan akan dicelup sebelum dijual, katanya.

Tun Hisan berkata siasatan lanjut mendapati keempat-empat suspek yang ditahan berumur 36 hingga 44 tahun dan ada yang mempunyai kesalahan lampau di bawah Ordinan Darurat selain ada terlibat dalam kes samun.

Pekerjaan mereka adalah pengawal keselamatan, ada yang baru keluar dari penjara, pekerja memasang penggera keselamatan dan kamera litar tertutup selain pemilik restoran, katanya.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan cedera dan polis sedang memohon perintah reman.

"Kita juga sedang mengesan empat suspek yang dipercayai berperanan melakukan samun dan membawa lari treler tersebut. Kita percaya mereka masih berada di sekitar Lembah Klang ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain