suria

Ambil Tanah Untuk MRT: Permohonan Lima Syarikat Diputuskan 15 September

KUALA LUMPUR: Permohonan lima syarikat persendirian termasuk dua pemilik tanah untuk mendapatkan kebenaran dalam mengisytiharkan pemgambilan sembilan lot tanah bagi projek mega Mass Rapid Transit (MRT) di Bukit Bintang, di sini sebagai batal dan tidak sah akan diputuskan pada 15 September ini.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan tarikh itu pada Selasa, selepas bertemu dengan wakil kedua-dua pihak di dalam kamarnya.

Peguam Su Tiang Joo yang mewakili semua pemohon ketika ditemui berkata, tarikh tersebut ditetapkan kerana hakim memerlukan lanjutan masa sebelum membuat keputusan.

Selain itu, Su juga memberitahu, mahkamah juga membenarkan penggantungan sementara prosiding pengambilan tanah yang diperoleh pemohon dilanjutkan sehingga keputusan diberikan.

Dalam kes ini, permohonan tersebut difailkan oleh T.S. Law Corporation Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Daun Kencana Sdn Bhd) dan dua anak syarikatnya, LTS Properties (M) Sdn Bhd dan LTS Capital Sdn Bhd, manakala pemilik tanah berkenaan adalah LTS Resources Holdings (M) Sdn Bhd dan Pedoman Cekap Sdn Bhd.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 5 Ogos lalu dengan menamakan tiga responden, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diikuti Kerajaan Malaysia dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diwakili oleh Peguam Kanan Persektuan Noor Hisham Ismail.

LTS Resources adalah sebuah anak syarikat milik penuh LTS Properties sementara syarikat Pedoman Cekap merupakan anak syarikat milik penuh LTS Capital.

T.S. Law Corporation adalah pemilik benefisial bagi keseluruhan tanah tersebut memandangkan ia syarikat induk muktamad kepada LTS Resources Holdings dan Pedoman Cekap.

Sejak penghujung 1990-an, T.S. Law Corporation berhasrat memajukan sebuah pusat perdagangan di kawasan Bukit Bintang melalui anak-anak syarikatnya.

Selaras dengan itu, T.S. Law Corporation melalui LTS Resources dan Pedoman Cekap secara beransur-ansur menambah bank tanahnya di kawasan Bukit Bintang dengan membeli keseluruhan tanah dari tahun 1999 hingga tahun ini pada jumlah harga balasan yang melebihi RM130 juta.

Pihak pemohon menyatakan, menurut Borang D di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bertarikh 22 Jun lalu, semua tanah tersebut perlu diambil sepenuhnya kecuali Lot No. 1215 seluas 81.43 meter persegi dari jumlah keluasan tanah tersebut iaitu 560 meter persegi perlu diambil.

Pemohon mendakwa, kelulusan pengambilan tanah untuk projek MRT tidak dimaklumkan kepada pemohon selain menyatakan, kelulusan itu menyalahi undang-undang, tidak sah dan berniat jahat serta melanggar Seksyen 3E(2) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Ini kerana dakwa pemohon, tanah yang diluluskan untuk pengambilan adalah lebih luas daripada yang diperlukan bagi projek MRT, yang dicadangkan untuk beroperasi di bahagian bawah tanah tersebut.

Justeru itu, pemohon mendakwa, memandangkan projek MRT yang dicadangkan hanya beroperasi di bawah tanah maka tiada keperluan untuk mengambil mana-mana bahagian permukaan tanah tersebut.

Pemohon berkata, menurut pendapat pakar, laluan MRT untuk projek tersebut boleh dibina di bawah tanah di kawasan tersebut dan tiada keperluan mengambil bahagian permukaan tanah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain