suria

Jenazah Pro-Canselor UPSI Dr Abdul Shukor Dikebumikan

PUTRAJAYA: Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tan Sri Dr Abdul Shukor Abdullah yang meninggal dunia awal pagi Rabu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini pada pukul 4.30 petang.

Allahyarham, yang berusia 67 tahun, meninggal dunia di kediamannya di Taiping, pukul 1.20 pagi ini.

Jenazah Allahyarham yang dibawa dari Taiping, terlebih dahulu disembahyangkan sekali lagi di Masjid Putra sebelum dikebumikan.

Bercakap kepada pemberita di Masjid Putra, saudara terdekat keluarga Allahyarham Abdul Shukor, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mustapha Khalil berkata arwah meninggal dunia dalam tidur.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan itu meninggalkan isteri Puan Sri Maimun Jahidin, 64, dan tiga anak iaitu Rizal Anuar, 40, Rizal Saini, 38, dan Rina Suriani, 33.

Balu Allahyarham, Maimun berkata suaminya seorang penyayang, mengambil berat dan sangat bertanggungjawab.

Pagi ini, jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah Assam Kumbang, Taiping sebelum dibawa ke Putrajaya.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah berangkat menziarahi dan memberi penghormatan terakhir, serta bersama-sama menyembahyangkan jenazah Allahyarham.

Allahyarham yang berasal dari Gopeng, Perak mula berkhidmat sebagai Pro-Canselor di UPSI sejak 2007 hingga kini. Beliau juga dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara Perak sejak Mac 2010.

Abdul Shukor, yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pendidikan mulai 29 April 1998 hingga 7 Februari 2001, turut aktif dalam persatuan serta pertubuhan dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia (ASFF). - BERNAMA

Artikel Lain