suria

Agong Tunai Solat Sunat Aidilfitri Bersama 15,000 Rakyat Di Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini bersama-sama 15,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal.

Baginda yang berbaju Melayu merah jambu tiba di masjid pada kira-kira 8.30 pagi dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet dan para diplomat asing.

Sejurus tiba, baginda dan para jemaah melaungkan takbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai khatib.

Tuanku Mizan kemudiannya beramah mesra dengan para jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda sebaik selesai khutbah Aidilfitri.

Jamil Khir semasa menyampaikan khutbah hari raya, mengajak umat Islam di negara ini menghayati Syawal dan keamanan yang dikecapi negara dengan penuh penghayatan kerana esok 31 Ogos, negara turut sama menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-54.

Dalam khutbah bertajuk "Persefahaman Pelengkap Sambutan Aidilfitri", beliau berkata keamanan dapat dikekalkan kerana persefahaman yang kuat dan juga roh kekuatan Islam.

"Persefahaman adalah roh kekuatan Islam kerana ia mewujudkn perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan dan masyarakat serta saling bantu membantu di antara satu sama lain.

"Ia juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia dan dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk kita sama-sama berganding bahu bagi memakmurkan sesebuah masyarakat dan negara," katanya.

Beliau berkata persefahaman juga adalah pelengkap kepada sambutan Aidilfitri melalui pembayaran zakat fitrah dan zakat harta yang telah dibayar di bulan Ramadan yang memberi keceriaan dan keriangan kepada golongan fakir miskin untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.

"Cahaya Ramadan juga mengingatkan kita bahawa dasar persefahaman yang ditetapkan Islam adalah melangkaui sempadan negara dan benua.

"Umat Islam di mana mereka berada adalah sama, kita sama dari segi makan minum, kita sama dari segi peraturan, halal dan haram serta kita juga sama dari sudut akidah," katanya.

Hari ini, Tuanku Mizan juga mengadakan majlis Istana Terbuka di Istana Negara dari 10 pagi hingga 1 tengah hari. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain