suria

Polis Kenal Pasti Lokasi Asal Sampul Surat Ugut Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Polis berjaya mengenal pasti lokasi sampul surat mengandungi dua butir peluru hidup yang diposkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pada hari Rabu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, ia diposkan melalui pos laju dari dalam negara.

"Mengenai perkembangan baru kes tersebut, kita sudah mengenal pasti dari mana pakej itu diposkan, dan kita kini sedang meneruskan siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Celcom Axiata Berhad bersama Trafik Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee, pada Khamis.

Semalam, Hishammuddin menerima peluru hidup dalam satu sampul surat di pejabatnya di Putrajaya pada 2 petang, yang turut mengandungi sebuah buku dengan ugutan bertulisan tangan pada muka surat pertama.

Sementara itu Khalid, yang turut diminta mengulas kes pembunuhan abang ipar Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dua hari lepas, berkata sebelum kejadian, berlaku sedikit selisih faham.

Dr Harjit Singh, 61, yang bertugas secara kontrak di Penjara Bentong, menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas kepala beliau dipenggal.

Suspek dipercayai seorang penjaga kebun, warganegara Bangladesh.

Artikel Lain