suria

Felda Cerita Manis Dalam Lipatan Sejarah Malaysia - PM

KOTA TINGGI: Felda adalah cerita manis dalam lipatan sejarah negara kerana agensi pembangunan tanah itu telah mengadakan transformasi awal pada ketika perkataan transformasi bukanlah suatu perkataan popular ketika Felda ditubuhkan dahulu.

Menyifatkan kejayaan Felda pada hari ini sebagai sesuatu yang unik dan istimewa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 114,000 keluarga sudah pun mendapat manfaat daripada Felda dan kerajaan akan menjadikan Felda sebuah institusi yang semakin kuat.

Bercakap ketika melakukan lawatan ke Gugusan Felda Tunggal di sini Ahad, beliau berkata pendapatan masyarakat Felda seperti di Felda Tunggal yang rata-ratanya mencecah RM4,000 sebulan sama nilainya dengan pendapatan penduduk di bandar kira-kira RM8,000 sebulan.

Najib berkata kejayaan Felda yang menjadi tonggak kekuatan kerajaan menyebabkan sesetengah pihak tidak senang duduk, lantas menabur fitnah mengatakan Felda sudah bankrap.

"Kalau bankrap masakan Felda boleh membayar zakat dan di Johor sendiri zakat Felda bernilai RM3juta," katanya. Transformasi Felda, kata Najib, bukan setakat dalam kalangan peneroka sendiri, malah membabitkan anak-anak Felda yang ramai di antaranya kini berpendidikan tinggi sehingga ke peringkat Sarjana.

Mengenai pembangunan di Felda Tunggal, beliau melahirkan rasa kagumnya melihat rumah-rumah peneroka yang diperbuat daripada batu-bata dan berbentuk banglo sama ada setingkat ataupun dua tingkat.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri berkunjung ke rumah seorang peneroka, Mohd Taha Halil, 70-an, dan berada kira-kira 20 minit di rumah itu.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Al-Ikhwan Gugusan Felda Tunggal dan menyertai acara mengacau bubur lambuk.

Terdahulu, ketibaan Najib di Felda Tunggal itu disambut lebih 3,000 warga Felda itu dengan kibaran Jalur Gemilang. - BERNAMA

Artikel Lain