suria

Reman Kes Bunuh Timbalan Pengarah Veterinar Perak Disambung Seminggu

IPOH: Mahkamah Majistret Ipoh melanjutkan tempoh reman selama seminggu bermula hari ini terhadap tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pembunuhan Timbalan Pengarah Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim pada 4 Ogos lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, seorang lagi lelaki dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Beliau berkata tempoh reman mereka disambung bagi membolehkan siasatan lanjut mengenai kes pembunuhan itu diteruskan.

"Kita telah menerima perintah tahanan daripada mahkamah dan siasatan akan diteruskan, katanya ketika dihubungi, Khamis.

Mayat Dr Rohani, 38 ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di pangsapuri Permai Lake View, Tambun, 4 Ogos lepas pada kira-kira pukul 3.30 pagi, apabila lelaki berkenaan terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan menuruni tangga pangsapuri itu.

Berikutan kes pembunuhan itu, polis kemudian menahan empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 26 tahun dalam masa kurang dari 24 jam. Dua lelaki ditahan pada hari kejadian di Tambun manakala dua lagi masing-masing di Tanjung Malim dan Slim River. - BERNAMA

Artikel Lain