suria

Zahid Yakin Tentera China Di Kawasan Tuntutan Bertindih Sekadar Memantau

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kehadiran tentera China di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan sekadar menunjukkan kehadiran mereka pada pihak lain.

"Kita yakin China tidak agresif dalam perkara ini. Mereka cuma hendak tunjuk kehadiran mereka diketahui," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Beliau yang mengulas mengenai tindakan China menghantar pasukan tenteranya ke pulau yang dituntut republik itu dan beberapa negara lain, berkata Malaysia memantau semua pergerakan negara terlibat.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata isu itu akan dipanjangkan ke Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean di Bali Oktober ini untuk perbincangan melalui perspektif ketenteraan.

"Ini kerana ia melibatkan operasi kapal-kapal laut yang telah berada di kawasan tuntutan bertindih itu. Jadi kita tidak mahu ianya jadi konflik ketenteraan sebaliknya diselesaikan melalui diplomatik.

"Kita cadangkan supaya diadakan mesyuarat pelbagai hala menggantikan mesyuarat dua hala dan berharap agar pihak China dapat melihat penyelesaian secara diplomatik dan lebih relevan," katanya.

Malaysia katanya mahu konflik berhubung tuntutan bertindih diselesaikan secara diplomatik bagi mewujudkan situasi aman di perairan tersebut, di samping memastikan sumber asli yang ada dimanfaatkan bersama, bukan oleh sebuah negara sahaja.

Ahmad Zahid sebelum itu menerima kunjungan bakal wakil Malaysia ke luar negara.

Mereka ialah Datuk Zainuddin Yahya (Belgium), Datuk Mazlan Muhammad (New Zealand), Ahmad Shahizan Abdul Samad (Bahrain), Datuk Badruddin Ab Rahman (Sweden), Datin Paduka Halimah Abdullah (Itali), Datuk Ilankovan Kolandavelu (Sepanyol), Ayauf Bachi (Peru), Dr Ahmad Faisal Muhamad (Myanmar) Datuk Azmil Mohd Zabidi (Vietnam) dan S.Ganeson (Chile).

Beliau juga mengadakan penerangan kepada bakal duta besar dan pesuruhjaya tinggi Malaysia itu mengenai aspek ketenteraan negara termasuk berkenaan aset Angkatan Tentera Malaysia dan juga kerjasama pertahanan dengan negara serantau.

Katanya penerangan itu bagi bagi membantu wakil Malaysia di luar negara memperbetulkan gambaran negatif yang dimainkan media alternatif berkenaan aspek pertahanan negara. - BERNAMA

Artikel Lain