suria

Jangan Perjudikan Masa Depan Dengan Undi Pembangkang

KUALA LUMPUR: Rakyat diminta tidak memperjudikan masa depan dengan mengundi parti pembangkang kerana tiada sebarang pembangunan yang menyeluruh dapat dirasai pengundi di sebuah kawasan berbanding pelbagai kemajuan dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas berkata PPP akan memastikan segala keperluan penduduk di sesebuah kawasan dilengkapi kemudahan awam seperti padang bola, taman rekreasi manakala sebarang aduan penduduk dapat diselesaikan dengan segera.

"Lihat sahaja kawasan Bukit Bintang yang merupakan kawasan kemenangan tradisi buat parti DAP buat sekian lama. Bagaimanapun, kemudahan awam untuk penduduk masih tidak lengkap dan pelbagai masalah penduduk tidak dapat diselesaikan kerana wakil rakyat adalah daripada parti pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penubuhan Cawangan Baru PPP dengan 100 keanggotaan, di Jalan Hang Tuah di sini, malam Sabtu.

Kayveas berkata pembangkang hanya pandai berceramah dan tidak membawa isu-isu yang bernas di Parlimen tetapi kebajikan pengundi di kawasan mereka tidak diambil berat dan mereka hanya turun padang dan melawat kawasan sekali-sekala sahaja.

Sehubungan itu, PPP telah bergerak agresif dengan mendaftar sejumlah 100 orang sebagai pengundi berdaftar di PPP cawangan Jalan Hang Tuah dan pada masa yang sama akan membantu BN dalam menawan kawasan Bukit Bintang yang dikuasai DAP selama ini, kata Kayveas.

Mengenai peluang BN menawan Bukit Bintang pada pilihan raya umum ke-13, beliau berkata ia adalah sesuatu yang tidak mustahil tetapi syarat utama ialah komponen BN perlu memberi kerjasama yang kuat antara parti dan sentiasa turun padang dan berjumpa dengan rakyat dari semasa ke semasa. BERNAMA

Artikel Lain