suria

Adnan Nafi Rombakan Kecil Barisan Exco Kerajaan Negeri

BENTONG: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan dakwaan pihak tertentu yang kononnya akan berlaku rombakan pada barisan exco kerajaan negeri pimpinannya.

Beliau berkata semua anggota exco kerajaan negeri telah menjalankan tugas dengan baik dan komited.

"Soal rombakan exco tidak timbul sama sekali, saya berpuas hati dengan semua anggota exco dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini yang komited dalam menjalankan tugas mereka," katanya kepada pemberita di sini sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu terutamanya parti pembangkang yang mendakwa akan berlaku rombakan berikutan kegagalan exco-exco tertentu dalam menjalankan tugas mereka.

Adnan berkata tindakan pihak tertentu itu hanyalah untuk memberi gambaran buruk kepada kepimpinan kerajaan negeri.

"Ia adalah merupakan permainan politik pembangkang yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diberi lebih tumpuan: "Kita akan bekerja keras bagi mengukuhkan lagi kedudukan BN di Pahang.

"Iklim politik kini sudah berubah, pandangan golongan muda, cerdik pandai dan lain lain perlu diambil kira. Kita tidak boleh selesa dan yakin namun kena berusaha dan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi yang ada serta berusaha untuk merampas semula kerusi yang dimenangi pembangkang," katanya.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan BN Pahang mahu semua anggota parti dan wakil rakyat BN menjalankan perkhidmatan dengan jujur dan ikhlas bagi membela nasib rakyat.

Terdahulu beliau yang juga anggota DUN kawasan Pelangai menyampaikan bantuan wang zakat dan hamper kepada kira kira 1,000 fakir miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak anak yatim di kawasan berkenaan di Kampung Simpang Pelangai, di sini. - BERNAMA

Artikel Lain