suria

Menhan...

Pengarang Bersekutu mStar, Rozaid A. Rahman (kiri) bersama dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Danawan sempena Lawatan Editor Kanan Media ke Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir di Sabah.
Pengarang Bersekutu mStar, Rozaid A. Rahman (kiri) bersama dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Danawan sempena Lawatan Editor Kanan Media ke Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir di Sabah.
Pengarang Bersekutu mStar, Rozaid A. Rahman (kiri) bersama dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Danawan sempena Lawatan Editor Kanan Media ke Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir di Sabah.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) memiliki kecenderungan sejak dahulu lagi untuk memendekkan perkataan. Betapa mereka memendekkan segala-galanya sehinggakan singkatan MINDEF (Ministry of Defence) dan KEMENTAH (Kementerian Pertahanan) menjadi lebih popular daripada nama panjangnya.

Baru-baru ini penulis dan beberapa pengarang akhbar serta wartawan tempatan telah dibawa ke Tawau, Sandakan dan Semporna di Sabah oleh ATM untuk menyaksikan latihan memintas pergerakan pengganas dalam satu operasi yang dinamakan Op PASIR. Pada mulanya ramai di antara kami yang beranggapan operasi itu dinamakan Op PASIR mungkin kerana ia diadakan di persisiran pantai. Maklumlah pantaikan banyak pasir.

Bagaimanapun, rupa-rupanya telahan kami itu silap. ‘PASIR’ yang dimaksudkan di sini adalah akronim kepada Operasi Pandanan And Sipadan Island Resort. Kedua-dua tempat ini suatu ketika dahulu pernah diancam Kumpulan Abu Sayaf dari Filipina. Jadi barulah kami semua faham, ‘PASIR’ yang dimaksudkan oleh ATM dalam program lawatan kami itu bukanlah bererti ‘pasir’ dalam ertikata yang sebenarnya.

Op PASIR ini pula adalah di bawah kendalian Markas Angkatan Tugas Bersama atau diringkaskan sebagai MATB. Dan sepanjang dua hari kami di sana, para peserta rombongan semua telah dibekalkan dengan buku jadual program yang hampir kesemua maklumat di dalamnya telah menjadi ‘mangsa ringkasan’ atau perkataan yang dipendekkan.

Misalnya, waktu berlepas ditulis begini;

“0800: JMB PU TUDM Subang ke LT Tawau.”

“1130: JMT LT Tawau.”

“0910: Ucapan Menhan.”

“0900: Demontrasi oleh ATB.”

Kami para wartawan ketika membelek-belek buku jadual tersebut pada mulanya cuba untuk meneka dan membuat telahan apakah yang dimaksudkan Dengan “JMB” ,“JMT”, “PU”, “LT”, “ATB” dan “Menhan” itu. Selepas menyerah kalah dan terpaksa bertanya kepada pegawai tentera yang mengiringi rombongan kami, barulah terhurai segala pertanyaan itu.

“JMB” adalah ringkasan untuk “Jangka Masa Berlepas”; “JMT” (Jangka Masa Tiba); “PU” (Pangkalan Udara); “LT” (Lapangan Terbang) dan “ATB” (Angkatan Tugas Bersama).

Dan apabila penulis memberitahu Penolong Ketua Pengarang Utusan, Ahmad Abdul Hamid, yang turut serta dalam rombongan kami bahawa namanya bersama penulis telah disenaraikan untuk menaiki helikopter Nuri bersama “Menhan” dari Tawau ke Pulau Danawan di mana Op Pasir akan dilangsungkan, lantas dia pun dengan nada suara yang tidak begitu seronok bertanya kembali; “Naik Nuri dengan Menhan? Menhan tu apa?” dan jawab penulis, “Itu adalah ringkasan untuk Menteri Pertahanan...”.

Nasihat dan tip dari KP Kesihatan...

Sepanjang kerjaya penulis sebagai seorang wartawan, jarang-jarang sekali penulis menerima satu kenyataan akhbar yang khusus memperkatakan tentang saranan amalan gaya hidup sihat sempena kedatangan bulan puasa. Tetapi kali ini akhbar penulis serta media utama yang lain telah menerima nasihat yang sangat berguna ini daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sendiri iaitu Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau memulakan kenyataannya dengan berkata; “Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada muslimin dan muslimat rakyat Malaysia. Di samping kita melakukan ibadah untuk meningkatkan pahala, marilah kita semua mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk meningkatkan amalan gaya hidup yang lebih sihat. Bagi mengelakkan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, jantung, strok dan kanser, kita semua perlu mengamalkan pemakanan yang sihat, aktif secara fizikal dan tidak merokok.

“Lazimnya bulan Ramadan dikaitkan dengan pesta makanan dengan wujudnya Bazar Ramadan, Bufet Ramadan di hotel-hotel dan pelbagai pakej tawaran hidangan yang menarik di restoran-restoran. Agama Islam menggalakkan umatnya untuk bersederhana dalam semua aspek kehidupan. Oleh yang demikian saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi beberap tip mudah yang boleh diamalkan oleh semua rakyat Malaysia.”

Begitulah bunyi mukadimah atau pembuka kata nasihat serta tip KP Kesihatan kepada rakyat Malaysia. Yang lebih menariknya, beliau turut menyeru agar rakyat Malaysia menjadikan bulan puasa ini sebagai titik permulaan untuk berhenti merokok dalam satu slogan yang beliau sendiri sebutkan sebagai “Nafas Baru Bermula Ramadan...”

Malah beliau berkata amalan sembahyang sunat Tarawih juga mampu meningkatkan tahap aktiviti fizikal seseorang individu. Seterusnya beliau menyenaraikan tujuh amalan pemakanan yang lebih sihat semasa Ramadan;

(1). Ketahui keperluan kalori anda dalam sehari. Lelaki memerlukan 2,000 kalori dan wanita 1,800 kalori. Jadi agihkan pengambilan makanan kepada 300 kalori semasa berbuka puasa dan 700 kalori lagi sewaktu hidangan utama, 300 kalori selepas sembahyang Tarawih (moreh) dan 500 kalori semasa bersahur.

(2). Berbukalah puasa dengan 3 biji kurma, 2 jenis kuih dan segelas air manis atau lebih baik jus buah-buahan (tanpa gula tambahan). Ini cukup untuk membekalkan 300 kalori. Hadkan pengambilan kuih bergoreng kepada selang sehari.

(3). Tunaikan sembahyang Maghrib terlebih dahulu sebelum hidangan utama. Dari aspek kesihatan ini akan membantu penghadaman makanan.

(4). Sasarkan pengambilan 700 kalori bagi hidangan utama seperti berikut; Nasi Putih 4 senduk (300 kalori); Ikan seekor sederhana besar (120 kalori); Sekeping Tempe (40 kalori); Sayur-sayuran (40 kalori); Buah-buahan seperti sebiji pisang dan sepotong betik (120 kalori) dan air manis segelas (100 kalori).

(5). Utamakan air kosong dan hadkan minuman berperisa kordial/air manis/buah-buahan kepada segelas sahaja.

(6). Bagi hidangan selepas sembahyang Tarawih hadkan kepada bubur kacang (200 kalori); sepotong tembikai (60 kalori) dan teh O kurang manis (20 kalori) dan (7). Sasarkan 500 kalori bagi hidangan bersahur seperti semangkuk sederhana Oat, susu dan buah-buahan kering (400 kalori) dan secawan air panas (100 kalori).

Sesungguhnya nasihat Datuk Dr Hasan ini sangat berguna dan baik untuk kesihatan kita semua dan penulis ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau di atas inisiatif yang beliau ambil untuk menasihati seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam tentang gaya pemakanan yang sihat sebagai panduan berbuka puasa dan bersahur di bulan Ramadan ini.

Tidak semua orang mengambil berat akan diri orang lain tetapi beliau telah memperlihatkan keperihatinannya ke atas diri kita semua. Terima kasih Datuk daripada kami di mStar...

Artikel Lain