suria

RTM Akan Siarkan Video PDRM Pada Perhimpunan Haram – Rais

TAMPIN: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan video perhimpunan haram pada 9 Julai lepas yang dirakamkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata apa-apa video mahupun gambar yang dapat menjawab tomahan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa pihak berkuasa berlaku zalim terhadap para peserta perhimpunan haram itu, perlu didedahkan kepada orang ramai.

"Sehubungan itu, RTM akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu menyiarkan perkara sebenar kepada masyarakat.

"Dan saya yakin setakat ini (video) yang telah diberikan oleh PDRM, ianya sahih dan boleh digunakan sebagai maklumat am dan khusus kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian komputer riba 1Malaysia kepada 30 pelajar sekolah menengah di kawasan Parlimen Tampin di Dewan Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min, Gemencheh, dekat sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang juga anggota Parlimen Tampin dan pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Khalid Ramli.

Mengenai sama ada video itu kelak akan disiarkan berulang kali atau tidak, Rais berkata semua itu akan bergantung kepada keadaan dan kesesuaian. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain