suria

Hukuman Guru Liwat Dua Murid Kekal

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu mengekalkan hukuman lapan bulan penjara terhadap seorang guru yang didapati bersalah meliwat dua pelajarnya enam tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab berkata keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar menjatuhkan hukuman itu adalah patut dan setimpal dengan kesalahan Muhammad Nizar Shuib.

"Setelah meneliti alasan pembelaan, saya dapati tiada keterangan kukuh pihak perayu untuk menolak keterangan pendakwaan yang berjaya membuktikan pertuduhan tanpa ragu dan mencukupi," kata Mohd Zaki semasa membacakan keputusannya.

Muhammad Nizar, 30, didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan iaitu memaksa dua anak muridnya berumur 11 tahun antara Mei 2003 hingga April 2004 di rumah nombor 497, Taman Siswa 2, Jitra, merangsang dengan tujuan melakukan perbuatan melampau yang salah mengikut seksyen itu.

Mahkamah Sesyen Alor Setar mendapati guru itu bersalah dan menjatuhi hukuman penjara lapan bulan mulai 9 Mei 2010. Mahkamah itu juga membenarkan Muhammad Nizar diikat jamin sebanyak RM35,000 dan seorang penjamin sementara keputusan rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Guru Sekolah Rendah Bandar Darul Aman, Jitra, itu digantung kerja apabila sejak 2004 apabila dihadapkan ke mahkamah.

Permohonan peguambela G. Ravishankar supaya mahkamah mengurangkan wang jaminan itu dengan alasan Muhammad Nizar masih seorang kakitangan kerajaan, ditolak.

Mahkamah mengekalkan jumlah itu sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Dalam keterangan kepada Mahkamah Sesyen, kedua-dua murid itu mendakwa Muhamad Nizar memberi amaran kepada mereka supaya perbuatannnya itu tidak diberitahu kepada sesiapapun tetapi selepas dipaksa ibu bapa masing-masing barulah mereka memberitahu perkara sebenar.

Ibu bapa kedua-dua murid itu kemudian melaporkan kes tersebut kepada polis yang membawa kepada penangkapan guru itu pada Mei 2004.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim. BERNAMA

Artikel Lain