suria

Bersih Tetap Berhimpun Di Stadium Merdeka

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tetap dengan pendirian untuk berhimpun di Stadium Merdeka pada Sabtu ini meskipun Kabinet tidak membenarkan ia diadakan di stadium tersebut atas alasan kumpulan itu masih lagi pertubuhan haram.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu di sini lewat petang Rabu, mereka menegaskan tidak akan berganjak dengan keputusan untuk berhimpun di Stadium Merdeka yang dianggap sebagai lokasi strategik bagi perhimpunan itu.

"Kami tetap akan berkumpul secara aman bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada pukul 2 petang, Sabtu ini. Kami akan berhimpun beramai-ramai dan bersama-sama membina Malaysia," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, ahli jawatankuasa Bersih kecewa dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kabinetnya yang berdolak-dalih mengenai tawaran untuk menyediakan stadium bagi perhimpunan tersebut.

"Sebagai masyarakat madani, kami tetap berpegang kepada prinsip intergriti dan sepenuh hati akan menuruti titah Yang di-Pertuan Agong yang menyarankan perhimpunan bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil diadakan di stadium," katanya.

Menurut kenyataan itu, jika Najib berpegang kepada janjinya, beliau akan mengambil tindakan sewajarnya agar perhimpunan tersebut dapat diadakan secara aman di Stadium Merdeka.

"Sama ada kerajaan berpegang kepada prinsip mereka atau tidak, kami akan berpegang kuat kepada prinsip kami.

"Kami akan menggunakan hak perlembagaan untuk berkumpul secara aman dengan tujuan yang adil dan berpatutan serta tidak akan berbelah bahagi," kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Bersih turut memetik kenyataan akhir yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara sebagai berkata, pihak polis akan mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya meneruskan perhimpunan tersebut.

"Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahu hak kami untuk memilih pemimpin dengan cara demokratik. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil.

"Tanggungjawab pertama kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak kami. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip-prinsip keadilan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh AJK Bersih yang terdiri daripada Datuk Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K, Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Datuk Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

Pada Rabu, Kabinet memutuskan tidak membenarkan perhimpunan Bersih diadakan di Stadium Merdeka, Sabtu ini kerana gabungan itu bukan pertubuhan sah.

Keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri mendapat pandangan dan nasihat Jabatan Peguam Negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain