suria

Tiada Perhimpunan PraBersih 2.0 Di Ibu Kota

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang menjangkakan satu perhimpunan praBersih 2.0 diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat kira-kira pukul 2 petang tadi hampa apabila tiada mana-mana kumpulan yang berdemontrasi di situ.

Sebaik sahaja selesai solat Jumaat, kawasan di luar masjid berkenaan mula dipenuhi jemaah yang sebelum itu mendengar khabar angin kononnya penyokong-penyokong Bersih 2.0 akan berhimpun.

Masjid Jamek berkenaan sememangnya terkenal sebagai lokasi bermulanya beberapa siri perhimpunan anjuran pembangkang sejak sekian lama lebih-lebih lagi sejak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Tinjauan mStar Online mendapati, orang ramai yang menunggu sehingga pukul 3 petang bagaimanapun hampa apabila perhimpunan berkenaan tiada.

Pegawai bank, Ahmad Amri, 29, berkata, dia ada mendengar kononnya satu perhimpunan pra-Bersih akan dimulakan di Masjid Kampung Baru.

"Jadi saya dengan rakan-rakan lepak sebentar selepas solat untuk tengok, tapi nampaknya tiada apa-apa," katanya.

Salah seorang peniaga, Rosli Che Dah, 35, berkata, dia menjalankan perniagaan seperti biasa di depan masjid walaupun ada terdengar cakap-cakap mengenai perhimpunan selepas solat Jumaat.

Katanya, dia tidak bimbang dengan perhimpunan itu kerana kebiasaannya tidak mengganggu para peniaga di sekitar kawasan luar masjid sekiranya ia terkawal.

"Kalau suasana tak terkawal barulah akan mengganggu kami," jelasnya yang berniaga di situ setiap Jumaat.

Fatimah Ali, 37, berkata, dia pada mulanya bimbang jika berlaku perhimpunan di kawasan itu seperti dahulu

Namun peniaga makanan itu berasa lega apabila mendapati tidak ada kumpulan yang memulakan sebarang demonstrasi.

"Kakak takut juga sebab nanti semua orang tak mahu singgah makan selepas sembahyang," ujarnya.

Di kawasan-kawasan lain termasuk Masjid Negara dan Dataran Merdeka serta di sekitar ibu kota juga tidak kelihatan mana-mana kumpulan mengadakan perhimpunan.

Dua kumpulan iaitu Bersih 2.0 dan Pergerakan Pemuda Umno dijadual mengadakan perhimpunan di sekitar Kuala Lumpur sebelum menuju ke Istana Negara pada Sabtu.

Sementara Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula dikatakan membatalkan perhimpunan antiBersih sebagai menghormati titah Yang di-Petuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Artikel Lain