suria

Pendedahan Video Seks Untuk Kepentingan Negara

KUALA LUMPUR: Tindakan Trio Datuk T mendedahkan video seks yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa dilakukan dengan niat murni dan bagi kepentingan negara, kata peguam Datuk Seri Muhammmad Shafee Abdullah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Muhammad Shafee juga memberitahu, niat dan motif perbuatan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Shuib Lazim boleh dilihat pada rakam percakapan mereka kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

Shazryl Eskay dan Abdul Rahim hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menyerah diri pada 24 Mac lalu diikuti manakala Shuib, yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Bekas-Bekas Wakil Rakyat UMNO (MUBARAK) membantu siasatan pada 25 Mac lalu.

"Berdasarkan rakaman percakapan Abdul Rahim, apabila ditanya mengapa siarkan video, tertuduh mengatakan bahawa 'saya berpendapat pita rakaman hendaklah disiasat kerana penglibatan tokoh terkenal di Malaysia dan perbuatan seroang pemimpin yang korup dan jijik seperti ini perlu diketahui rakyat," kata Muhammad Shafee pada rayuan peringanan hukuman terhadap anak guamnya.

Beliau seterusnya merujuk kepada percakapan Shazryl Eskay yang mendakwa bahawa dirinya dan Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sangat rapat dan membuat keputusan untuk mendedahkan video itu setelah beberapa hari berfikir selepas memperoleh peranti storan media (USB) yang mengandungi video seks terbabit.

Membacakan rakaman percakapan Shazryl Eshkay, Muhammad Shafee berkata: "Saya membuat keputusan untuk mendedahkannya kerana ia adalah bukti yang sangat kuat untuk ditunjukkan kepada masyarakat tentang aksi lucah seorang pemimpin yang mengatakan dia Islam."

Sementara itu, berdasarkan rakaman percakapan Shuib, beliau mengakui bahawa terkejut apabila menonton video seks yang dikatakan dirakamkan di bilik sebuah apartmen di Ampang, di sini pada 21 Februari lalu.

Video itu memaparkan adegan seorang lelaki dan wanita melakukan hubungan seks termasuk seks oral dalam keadaan berbogel.

Shuib yang merupakan seorang guru sebelum terlibat dalam dunia politik juga mengakui bahawa beliau menonton video itu berkali-kali dan selepas berbincang, beliau dan Shazryl Eskay bersetuju untuk berjumpa dengan Abdul Rahim.

"Saya cadangkan supaya (video) diserahkan kepada polis tetapi mereka berdua kurang setuju kerana bila serah kepada polis, Anwar akan tuduh ada konspirasi untuk jatuhkan dia," kata Muhammad Shafee yang membacakan rakaman percakapan Shuib.

Muhammad Shafee juga berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu bahawa Trio Datuk T akan didakwa atas kesalahan berhubung penyebaran video itu yang dilakukan di Bilik Seri Makmus, Hotel Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Persiaran Mahameru di sini pada 21 Mac lalu kepada wakil media daripada The Star, News Straits Times, Bernama, Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Selain itu, penayangan tersebut turut melibatkan wakil daripada Malay Mail, China Press, dan wakil media pro pembangkang seperti Harakah, MalaysiaKini dan Malaysia Insider.

"Saya terkejut apabila mendengar mereka akan didakwa kerana tidak pernah berfikir begitu. Pendedahan oleh Trio Datuk T adalah dengan niat yang murni dan mereka tidak mendapat apa-apa faedah dari segi kewangan dengan tindakan tersebut," kata Muhammad Shafee.

Beliau berkata demikian pada rayuannya di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani agar hukuman yang ringan diberikan terhadap Shazryl Eskay, Abdul Rahim dan Shuib yang masing-masing mengaku salah atas tuduhan menayangkan video seks itu secara terbuka.

Shazryl Eskay dikenakan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda,manakala Shuib dihukum denda RM1,500 atau dua bulan penjara sementara Abdul Rahim diarahkan membayar denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Shazryl Eskay dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah iaitu video seks adengan seorang lelaki dan wanita secara terbuka.

Abdul Rahim pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu di bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Persiaran Mahameru di sini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh telah membuat laporan polis menafikan beliau adalah individu di dalam video itu, yang bahagian awalnya pernah disiarkan dalam beberapa bahagian di laman sosial, YouTube.

Artikel Lain