suria

Perhimpunan Bersih Merugikan Negara Dan Rakyat - Pak Lah

KEPALA BATAS: Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadual pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur akan membawa kerugian kepada negara dan rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata perhimpunan seperti itu juga akan menimbulkan huru hara dan suasana tidak selesa kepada orang ramai serta pelancong asing.

"Sanggup pembangkang memperjudikan keselamatan negara dan rakyat dengan mengadakan perhimpunan seperti itu dan ia sudah pasti merugikan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Kepala Batas di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas di sini Ahad.

Abdullah berkata negara ada saluran untuk rakyat meluahkan sebarang permasalahan dan bukan dengan cara mengadakan demostrasi seperti perhimpunan Bersih.

"Bukan itu caranya, kita ada saluran dan jika ada benda yang tidak puas hati guna cara yang betul. Berarak beramai-ramai bukan boleh menyelesaikan masalah," katanya.

Abdullah, yang juga Ketua Bahagian dan Anggota Parlimen Kepala Batas turut menasihatkan orang ramai agar tidak memperjudikan masa depan dengan menyertai perhimpunan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain