suria

Roda Meriam Bersejarah Di Melaka Lesap

Meriam bersejarah yang dicuri rodanya di Bukit St John dekat Bandar Hilir, Melaka.
Meriam bersejarah yang dicuri rodanya di Bukit St John dekat Bandar Hilir, Melaka.
Meriam bersejarah yang dicuri rodanya di Bukit St John dekat Bandar Hilir, Melaka.

MELAKA: Sekumpulan pencuri telah melarikan 20 buah roda besi padu yang digunakan sebagai topang untuk meriam zaman Portugis di Bukit St John dekat Bandar Hilir di sini.

Pengerusi Jawatankauasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Md Yunus Rahmat bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan tentang kecurian tersebut.

Setiap buah meriam itu mempunyai berat antara 500 kilogram (kg) hingga 600kg.

"Ini merupakan satu kerugian yang besar dan pencuri harus ditangkap.

"Kejadian sebegini di mana artifak yang berat dicuri adalah pertama kalinya berlaku," katanya selepas melawat tempat kejadian, Rabu.

Menurut beliau, roda-roda tersebut diperbuat daripada besi tuang dan sebahagian daripadanya telah dihasilkan semula pada tahun 1980-an untuk menggantikan roda asli yang telah rosak.

Lima buah meriam itu digunakan Portugis untuk menentang serangan dari arah laut dan darat pada tahun 1500-an.

Md Yunus memberitahu, kecurian itu disedari oleh pekerja penyelenggaraan kira-kira pukul 8 pagi.

Pekerja itu kemudian melaporkan perkara tersebut kepada pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang kemudiannya memaklumkannya kepada pejabat Ketua Menteri.

Md yunus mengatakan roda tersebut mungkin dicuri pada malam Selasa kerana pekerja penyelenggaraan masih melihatnya pada waktu pagi hari yang sama.

"Kecurian ini mungkin dilakukan oleh pencuri besi buruk namun ia masih tidak boleh dipastikan.

"Kami akan menyerahkan kes kepada pihak polis untuk melakukan penyiasatan," tambahnya lagi.

Beliau memberitahu Jabatan Warisan Negara akan membuat satu laporan polis pada Khamis.

Md Yunus menambah bahawa kerajaan negeri akan mengarahkan jabatan tersebut untuk menempatkan pengawal keselamatan di Bukit St John's.

Beliau menambah bahawa kawalan keselamatan di kawasan Bukit St Paul itu perlu diberi keutamaan.

Beberapa anggota polis dilihat mengepung kawasan Bukit St John dan mengambil keterangan beberapa orang pekerja penyelengaraan untuk menjalankan siasatan.

Artikel Berikut

Artikel Lain