suria

Agensi Nuklear Rusia Hantar Delegasi Ke Malaysia

MOSCOW: Rusia akan menghantar satu delegasi pakar nuklear ke Malaysia minggu depan untuk meneroka peluang dalam membangunkan loji tenaga nuklear pertama negara.

Ketua pengarah Perbadanan Tenaga Atomik Negara (Rosatom) Sergey Kirienko berkata delegasi itu akan membuat penyampaian secara terperinci termasuk aspek teknikal dan kewangan.

"Ke mana-mana kita pergi, kita akan menunjukkan apa kita boleh tawar. Kita faham mereka (negara-negara yang berminat) perlukan masa untuk membuat keputusan terakhir kerana mereka tidak ada pengalaman itu," katanya kepada media di luar Ekspo Atom 2011 anjuran Rosatom di sini.

Kirienko, yang pernah menjadi Perdana Menteri Rusia dalam tempoh masa singkat pada 1998, berkata syarikat itu, yang terbabit dalam pembinaan loji tenaga nuklear pertama di Vietnam, yang akan siap pada 2020, telah menjalin hubungan dengan beberapa negara Asean lain.

"Kita buat penyampaian kepada beberapa negara ini pada akhir 2010 dan Mac, kita bincang pada sesi antara kerajaan di sini," tambah beliau.

Kirienko berkata Rosatom akan membantu kerajaan yang berminat untuk mewujudkan infrastruktur yang perlu untuk membangunkan loji tenaga nuklear di negara mereka, sambil menambah bahawa pengalaman Vietnam boleh digunakan untuk negara-negara Asean lain.

"Kita akan gunakan Vietnam sebagai contoh kerana keputusan tidak berubah (selepas insiden nuklear Fukushima di Japan). Kita telah tandatangni dengannya dan kini memutamadkan butir-butir, termasuk menyediakan reka bentuk," kata beliau.

Kirienko berkata mereka akan melatih pakar-pakar Vietnam untuk mengendalikan loji tenaga itu, sambil menambah bahawa pengawal bebas kini menjalani latihan sambil bekerja dengan agensi Rusia yang berkaitan.

Malahan, beliau berkata tawaran Rusia juga termasuk pakej kewangan, dengan memberikan contoh had kredit kewangan yang dibuka untuk pembinaan loji tenaga nuklear di Vietnam.

Menurut beliau, adalah penting untuk mempunyai pereka yang cekap untuk negara-negara Asia Tenggara kerana kebanyakan loji nuklear dibina di pantai yang terdedah dengan tsunami.

Malaysia merancang untuk membina dua buah loji tenaga nuklear yang akan menjana 1,000 megawatt setiap sebuah untuk mengurangkan kebergantungan bahan api fosil.

Sungguhpun tidak ada pengumuman yang konkrit, laporan sebelum ini menyatakan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) mungkin membina loji tenaga nuklear pertama negara dengan harga US$3.1 bilion menjelang 2020.

Asia, khasnya, Asia-Pasifik kekal sebagai arena utama untuk perluasan tenaga nuklear, dengan sekurang-kurangnya 40 projek sedang dilaksanakan.

China, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan terbesar dunia, mempunyai 24 projek yang sedang dijalankan.

Terdapat 440 reaktor tenaga nuklear yang digunakan di seluruh dunia pada 2011. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain