suria

Pemilihan PAS: Perebutan Naib Presiden Paling Sengit Dalam Sejarah Parti

KUALA LUMPUR: Persaingan enam penjuru bagi merebut jawatan Naib Presiden PAS merupakan yang paling sengit dalam sejarah pemilihan parti yang akan diadakan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata semua calon yang dipilih melibatkan nama-nama besar dan mempunyai kehebatan tersendiri.

"Semua calon yang akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden hebat-hebat belaka. Namun, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar boleh dianggap sebagai calon popular bagi jawatan itu," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Selain Mohammad Nizar, lima calon lain yang akan bertanding jawatan Naib Presiden ialah penyandang, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar; Ketua Penerangan, Idris Ahmad; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden turut menunjukkan persaingan tiga penjuru antara penyandang, Nasharudin Mat Isa dengan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Mohamad Sabu.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diisytiharkan kekal sebagai Presiden PAS untuk sesi 2011/2013 selepas tiada nama lain yang dicalonkan.

Bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 53 pencalonan disahkan untuk bertanding tetapi hanya 18 calon akan dipilih.

Seramai 1,100 ahli layak mengundi bagi pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dijadualkan berlangsung pada pukul 4 petang, Jumaat depan selepas pembentangan minit kewangan.

Keputusan calon yang menang akan diumumkan keesokan harinya.

Sementara itu, berlaku persaingan empat penjuru bagi jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan ditandingi, Azman Shapawi, Mohd Firdaus Jaafar, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Suhaizan Kaiat.

Penyandang Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan mengekalkan jawatan itu selepas disahkan menang tanpa bertanding.

Seperti dijangka, Jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menyaksikan persaingan di antara penyandang, Nuridah Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Jawatan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat akan menjadi perebutan empat calon iaitu Mastura Mohammad, Mumtaz Md Nawi, Dr Najihatussalehah Ahmad dan Normala Sudirman.

Abdul Halim turut mengesahkan tiada sebarang pertandingan bagi Dewan Ulama dan keputusan akan diumumkan pada Khamis depan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain