suria

Tiada Keperluan Untuk Polis Dedah Pelaku Video Seks - Tim. KPN

JOHOR BAHARU: Timbalan Ketua Polis Negara berkata, tiada keperluan daripada segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin sebuah parti pembangkang.

Menurut Datuk Khalid Abu Bakar, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.

"Tiada keperluan undang-undang untuk mendedah pelakunya. Jikalau kita mengambil tindakan yang lebih daripada had undang-undang, kita akan dituduh pula terlibat di dalam politik."

"Jadi kita menjalankan tanggungjawab menyiasat kes ini, apa yang tidak boleh didedah kita tidak akan dedah. Jangan mendesak kita kerana kita mengikut apa yang diperuntukan oleh undang-undang," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Khalid berkata demikian selepas menghadiri majlis Sesi Percambahan Minda Bersama Pucuk Pimpinan Polis Kontinjen Johor yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Sharif.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Mohd Zaid Ibrahim dalam Utusan Malaysia, Rabu, yang berpendapat kredibiliti polis akan terjejas jika ia masih teragak-agak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu.

Khalid berkata, polis telah pun selesai menjalankan siasatan terhadap kes mengedar dan mempamer video lucah itu dan kini terpulanglah kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

"Polis telah menjalankan siasatan, sama ada tuduh atau tidak itu bukan tanggungjawab polis...itu tanggungjawab Jabatan Peguam Negara. Kita telah menjalankan apa jua arahan pendakwa raya tentang video lucah itu," katanya.

Mengenai sesi pencambahan minda hari ini, beliau berkata, ia merupakan usaha kontinjen Polis Johor berbincang untuk mencari pendekatan baru bagi mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah.

Katanya, tahun ini Polis Johor telah berjaya mengurangkan sebanyak 20 peratus kadar jenayah di kawasan-kawasan panas negeri ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Polis Johor yang telah mewujudkan 25 pondok khas polis di kawasan panas sekitar Johor Baharu dan Iskandar Malaysia, merancang untuk menambah 25 lagi pondok khas bagi membanteras jenayah, kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain