suria

Video Seks: Polis Ikut Saluran Undang-Undang

PEKAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa mirip ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis berpegang kepada peruntukan undang-undang dan peraturan serta tidak akan terpengaruh dengan mana-mana pihak.

Beliau memberitahu pemberita demikian di Istana Abu Bakar di sini Khamis semasa ditemui selepas mengetuai 155 penerima darjah kebesaran negeri Pahang sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Khalid berkata tiada keperluan daripada segi undang-undang bagi polis mendedahkan perkara itu.

"Banyak kali saya dah beritahu mengenai perkara ini, saya pun tak faham kenapa orang ini tak faham-faham bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang membolehkan kita membuat pendedahan.

Jadi kalau undang-undang tak benarkan, tak bolehlah," katanya ketika diminta mengulas desakan sesetengah pihak supaya polis segera mendedahkan identiti pelaku itu.

Pada majlis hari ini, Khalid yang dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran "Datuk Seri" bersama-sama tiga lagi penerima iaitu Pengerusi Eksekutif Cepatwawasan Group Berhad, Datuk Mah King Thian; peguam Datuk Iskandar Michael Abdullah dan Pengarah Urusan DT&T Holdings Berhad, Datuk Tang Ying Lik.

Seramai 12 penerima pula dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran "Datuk" termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Dr Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Sulaiman Md Zain; bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mustapha Hashim.

Seramai 81 penerima pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran "Datuk" termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Zainal Azman Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Thailand Nazirah Hussain; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang Dr Muhammad Safaruddin Md Dawam; Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara, Abdul Jalil Abdullah dan Presiden Majlis Gabungan Persatuan Orang Cacat Malaysia Mah Hassan Omar.

Lima penerima dianugerahkan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), 11 penerima Setia Mahkota Pahang (SMP), 12 penerima Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan 30 penerima Ahli Mahkota Pahang (AMP). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain