suria

Akta Anti Pencatutan Halang Kenaikan Harga Barangan Tidak Munasabah

PUTRAJAYA: Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1 April lalu akan dapat menghalang kenaikan harga barangan yang tidak munasabah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sambil menyifatkan nilai subsidi yang dijangka meningkat kepada RM20.58 bilion pada tahun ini sebagai sangat tinggi, beliau berkata impak terhadap harga barangan tidak dapat dielakkan jika berlaku kenaikan harga minyak tetapi kajian simulasi telah dilakukan terhadap kesan daripada kenaikan tersebut.

"Misalnya kenaikan harga gula baru-baru ini, dari segi kenaikannya terlalu kecil iaitu 0.4 atau 0.7 peratus sahaja.

"Kalau dulu, sebelum ada akta Anti Pencatutan, walaupun kenaikannya hanya kurang daripada satu peratus, tetapi kadang-kadang peniaga menaikkan harga lebih daripada yang sepatutnya, iaitu sehingga 10 sen, yang sepatutnya 0.1 peratus.

"Dengan adanya akta tersebut yang berkuatkuasa, jika ada kenaikan yang tidak munasabah dan melebihi daripada yang sepatutnya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga yang pertama, di sini, Isnin.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri berkata mesyuarat jawatankuasa itu yang berperanan untuk melihat dan merencana kaedah yang sesuai dalam membantu kerajaan mengawal impak kenaikan harga barangan, akan bermesyuarat sebanyak empat kali setahun.

"Tetapi jika ada isu mendesak, ia akan bermesyuarat jika perlu.

"Mesyuarat hari ini tidak membincangkan isu naik harga atau turun harga barangan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain