suria

Cerai: Kakak Siti Nurhaliza, RM400 Juta Tarik Perhatian

MENJADI anak seni atau golongan VVIP di negara ini ada kalanya merimaskan kerana setiap langkah akan menjadi perhatian masyarakat.

Mungkin itulah yang dirasai oleh pemilik nama Siti Norsaida Tarudin atau lebih dikenali sebagai Saida apabila permasalahan rumah tangganya diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia yang membaca akhbar atau melayari Internet.

Jika dahulu, langkahnya mungkin lebih bebas kerana dia hanyalah kakak kepada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza sehinggalah penyertaannya di dalam rancangan realiti, Akademi Fantasia.

Walaupun menjadi antara peserta terawal yang tersingkir, bakatnya dalam bidang nyanyian - walaupun sering dibandingkan dengan adik-adiknya, Siti dan Saerah - mula diasah.

Bagaimanapun, tahun ini menyaksikan perjalanan rumah tangganya yang dibina bersama seorang ahli perniagaan, Mohd Ghazali Yahya Zikri sejak 15 tahun lalu mendapat lebih 'perhatian' berbanding dengan bakat seninya.

Semuanya bermula apabila wanita yang sinonim dengan sifatnya yang pemalu itu memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2010 atas alasan tiada lagi persafahaman antara mereka.

Setiap kali prosiding kes dijalankan, sudah pasti akan ada cerita-cerita baru yang akan kedengaran, seperti dakwaan bahawa permohonan tersebut difailkan kerana sikap Mohd Ghazali, 41, yang tidak menghormati arwah bapa Saida.

Saida, 35, pula menyifatkan sikap Mohd Ghazali yang mengongkong kerjayanya sebagai menyakitkan hati.

Bagaimanapun, sudah pastilah prosiding yang baru berlangsung pada Rabu lalu paling panas, kerana Mohd Ghazali yang selama ini sangat mengawal kata-katanya, 'meluah' rasa kecewanya di mahkamah.

Menurut lelaki itu, dia sedih dan kecewa dengan perubahan sikap isteri yang dahulunya seorang yang lemah-lembut dan bertimbang rasa menjadi lupa akan tanggungjawab.

Dakwanya, Saida telah keluar dari rumah mereka di Alam Damai, Cheras, dan mengabaikan anak mereka, Siti Nurunnyssa, 14; Anas, 12; Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.

Semuanya kerana menurut Mohd Ghazali, isterinya itu sedang sakit, iaitu 'sakit angau' dengan seorang lelaki yang didakwanya bernama Hafiz Che Man - yang didakwa Saida adalah rakan sekerjanya.

Lebih memeranjatkan apabila dia pernah berjumpa Saida dengan lelaki tersebut di dalam kereta di Balakong pada Jun tahun lalu dan apabila ditanya, Saida memberitahu rakannya itu mahu memulangkan telefon bimbit.

Mohd Ghazali yang merupakan bekas jurutera geologi seterusnya mendakwa, dia menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menggunakan kata-kata seperti 'sayang, rindu dan I Love You' pada telefon bimbit tersebut manakala bil pula menunjukkan mereka menghabiskan masa berjam-jam untuk berbual.

Lelaki tersebut yang nekad tidak mahu menceraikan Saida juga memaklumkan bahawa dia ingin membawa isterinya mengerjakan umrah - dan cadangan itu telah diutarakan sejak mula kes didengar.

Cadangan itu dipersetujui oleh Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi yang menasihatkan agar rancangan ke Tanah Suci itu dilaksanakan walaupun wakil hakam kedua-dua pihak gagal mencari jalan penyelesaian dalam permasalahan mereka.

Beliau juga menetapkan agar Mohd Ghazali dan Saida dibawa ke hadapan wakil hakam yang dilantik oleh mahkamah, sekiranya wakil hakam pilihan mereka gagal mencapai matlamat yang ditetapkan pada 15 Jun depan.

Perceraian RM400 juta

Minggu lalu juga menyaksikan terlerainya perkahwinan selama 19 tahun antara anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib dengan Datin Seri Shahnaz A. Majid. Seakan kebetulan, Shahnaz juga mempunyai seorang adik yang melibatkan diri dalam industri seni, iaitu ratu jazz, Datuk Sheila Majid.

Perceraian itu juga pada awalnya mendapat perhatian, ekoran dakwaan-dakwaan yang dinyatakan oleh Shahnaz, 48, apabila beliau memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh.

Antaranya, Shahnaz mendakwa dirinya telah dikasari secara fizikal dan tidak menerima nafkah batin sejak 11 tahun lalu selain mendakwa suaminya gemar bersosial dan tidak berlaku adil selepas berkahwin dengan seorang wanita Rusia.

Bagaimanapun, sebelum kes fasakh sempat didengar, mahkamah dimaklumkan bahawa Mahmud Abu Bekir ada memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di mahkamah sama.

Atas persetujuan bersama, Mahmud Abu Bekir, 48, melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Shahnaz pada Rabu di hadapan Ketua Hakim Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Abdullah.

Apa yang lebih menarik ialah nilai yang terbabit dalam perceraian itu - RM400 juta - satu nilai yang amat jarang sekali didengar bukan sahaja dalam tahun ini, tetapi dalam dekad ini.

Shahnaz memfailkan permohonan untuk menuntut mutaah bernilai RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian - nilai yang dianggap berpatutan dengan status dan pendapatan Mahmud Abu Bekir.

RM100 juta itu didakwa sebagai satu jumlah yang munasabah dengan tempoh perkahwinan dan jumlah yang adil bagi beliau untuk memulakan kehidupan baru sesuai dengan status dan taraf yang pernah dilaluinya.

RM300 juta pula dituntut agar diisytiharkan sebagai harta sepencarian yang meliputi harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.

Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, Audi, dan Alphard serta simpanan-simpanan bank.

Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.

Kes tersebut akan disebut pada 27 Jun depan untuk melihat sekiranya pasangan itu dapat mencapai persetujuan dalam permohonan tersebut atau jika tidak, kes itu akan dibicarakan.

Isu perceraian bukanlah satu isu yang besar pada masa kini. Setiap hari ada sahaja pasangan yang bercerai di setiap Mahkamah Rendah Syariah di sekitar negara.

Bagaimanapun, status mereka ini selaku orang kebanyakkan menyebabkan perihal yang menyedihkan itu hanya dikongsi oleh keluarga dan teman rapat sahaja.

Sudah pastilah, tiada siapa yang berminat untuk membaca jika akhbar menyiarkan 'Joyah sah bercerai dengan Ahmad' kerana nasib Joyah tiada bezanya dengan wanita-wanita yang sama menunggu kes mereka dipanggil di mahkamah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain