suria

Mahkamah Tangguh Hukuman Pelajar Tumbuk Guru

KANGAR: Mahkamah Juvana menangguhkan hukuman terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mengaku bersalah menumbuk seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, Bukit Keteri, dekat sini April lalu.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menetapkan 1 Jun ini bagi menjatuhi hukuman itu berikutan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan laporan perubatan guru berkenaan.

Pada 11 April lalu, pelajar tingkatan dua itu mengaku bersalah atas tuduhan menumbuk guru mata pelajaran Sejarah, Mariati Mat Ail, 37, sehingga menyebabkan kecederaan di hidungnya kira-kira 12.45 tengah hari, 7 April lalu di sekolah terbabit.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan hukuman.

Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sabry mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pelajar itu yang diiringi anggota keluarganya bergegas meninggalkan mahkamah sebaik hukuman ditangguhkan. -BERNAMA

Artikel Lain