suria

Dua Lelaki Ditahan Disyaki Terbabit Jual Minyak Diesel Bersubsidi

TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) cawangan Teluk Intan menahan dua lelaki dan merampas minyak diesel bernilai lebih RM20,000 dalam pemeriksaan di Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang di sini, awal hari Sabtu.

Lelaki berusia 56 dan 66 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 pagi oleh anggota penguatkuasa yang membuat rondaan di kawasan itu. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan.

Hasil pemeriksaan terhadap mereka, pihak penguatkuasa menemui sebuah pam yang dipercayai untuk menyedut minyak daripada lori yang melalui jalan itu, kata Ketua KPDNKK Cawangan Teluk Intan Omar Ismail.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini beliau berkata hasil pemeriksaan di kawasan itu, pihaknya menemui sebuah pusat pengumpulan minyak kira-kira satu kilometer dari jalan utama.

Sejumlah 650 liter minyak disel dipercayai minyak bersubsidi ditemui dalam tiga tong yang boleh memuatkan kira-kira 200 liter setiap satu tong, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain