suria

DRB-HICOM Kini Kuasai 32.21% Pegangan Dalam Pos M'sia

KUALA LUMPUR: Konglomerat DRB-Hicom Bhd, yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, berjaya menewaskan beberapa pesaingnya untuk memenangi bidaan 32.21 peratus pegangan Khazanah Nasional Bhd dalam Pos Malaysia Bhd.

Niaga janji itu bernilai RM622.79 juta atau RM3.60 sesaham.

DRB-Hicom, yang berhasrat membawa Pos Malaysia ke "tahap yang lebih tinggi", berkata, pembelian itu adalah sejajar dengan keseluruhan strategi kumpulan untuk meningkatkan sektor tersebut dalam usaha mengembangkan perniagaannya.

"Kami yakin Pos Malaysia dengan rangkaian menyeluruhnya akan menyediakan platform yang sesuai bagi mengembangkan perniagaan kami dalam dan luar negara," kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Janji niaga itu akan dibiayai daripada dana dalaman dan pinjaman bank.

Selain daripada perniagaan baharu dan program pengembangan, sinergi yang boleh diwujudkan dalam Kumpulan itu adalah besar, katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

"(Satu daripada) matlamat adalah untuk menggiatkan lagi perniagaan logistik dalam Pos Malaysia, di mana saiz pasaran logistik domestik adalah melebihi RM27 bilion," kata Pengarah Kumpulan, Korporat dan Perkhidmatan DRB-Hicom, Datuk Khalid Abdol Rahman.

Pos Malaysia, katanya, juga boleh meneruskan kerjasama strategik dengan peserta tempatan dan global, bagi menyertai dengan cepat ke dalam sektor logistik.

Sementara itu, Khazanah dalam satu kenyataan berasingan berkata, DRB-HICOM dipilih berdasarkan keseluruhan bidaannya, yang menawarkan bukan sahaja strategi yang baik tetapi juga pelan perniagaan boleh dilaksana dan harga tawaran yang boleh diterima.

"Pelan perniagaan dan strategi DRB-Hicom menyediakan platform efektif bagi Pos Malaysia untuk berkembang, jika sekiranya diguna pakai oleh Pos Malaysia secara keseluruhannya," kata Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Datuk Azman Mokhtar.

Penjualan itu disifatkan sebagai pelaksanaan penting kerana ia merupakan langkah pertama seumpamanya Khazanah bagi keseluruhan pegangan dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan utama.

Cabang pelaburan kerajaan itu berkata ia mengguna pakai langkah penjualan strategik yang melibatkan pembidaan terbuka, proses pemilihan yang telus dan berasaskan merit.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai penjualan itu, Khazanah berkata harga tawaran pada RM3.60 sesaham tertakluk kepada pengubahsuaian saham keutamaan boleh tebus hak istimewa dalam Pos Malaysia, yang dipegang oleh Menteri Kewangan.

Harga tawaran bersyarat itu juga tertakluk kepada variasi penggunaan 16 plot tanah dikenal pasti dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan dipajak kepada Pos Malaysia, kata Khazanah.

Pada 5 petang, saham Pos Malaysia naik dua sen kepada RM3.37 tetapi DRB-Hicom turun dua sen kepada RM2.30.-BERNAMA

Artikel Lain