suria

Peralatan Seks Antara Barangan Rampasan Kastam S'gor

PELABUHAN KLANG: Pelbagai jenis peralatan seks antara barangan dagangan yang dirampas Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor membabitkan nilai RM274,362 termasuk cukai dalam lima kejadian berasingan di sini antara 11 Februari hingga hari ini.

Pengarah KDRM Selangor, Datuk Azis Yacub berkata, pada 11 Feb lepas, pihaknya berjaya menemui pelbagai jenis peralatan seks dan ubat-ubatan yang dibawa masuk dari China melalui Pelabuhan Utara di sini.

"Peralatan seks merupakan antara barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya kepada pemberita di Wisma Kastam Pelabuhan Utara di sini.

Azis berkata, pada 24 Mac lepas di pelabuhan yang sama, pihaknya menemui 10 buah motosikal mini yang disorokkan dalam sebuah kontena berisi barangan dagangan lain.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati motosikal mini tersebut yang dibawa masuk dari China tidak diikrarkan kerana tidak mempunyai permit import (AP) dan nilai yang perlu dibayar bagi 10 motosikal itu ialah RM1,370.78 dan jumlah cukai RM412.74.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian berasingan semalam (19 April), Azis berkata pihaknya turut menahan satu unit kontena dari Itali melalui Pelabuhan Barat di sini yang membawa muatan 1,158 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM52,033.02 dan jumlah cukai RM179,048.43.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengimportan tanpa permit yang sah, katanya.

Pada hari yang sama (19 April), Azis berkata pihaknya juga telah menahan lapan unit kontena yang cuba dibawa keluar melalui Pelabuhan Utara yang membawa muatan disyaki amang besi berwarna hitam seberat 160 tan yang bernilai RM40,000.

"Dagangan ini tidak terlibat dengan duti eksport tetapi tertakluk kepada perintah duti kastam (Larangan eksport) yang memerlukan lesen eksport daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Azis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta yang sama.

Dalam kejadian terbaru iaitu hari ini (20 April), pihaknya merampas 198 paket rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama bernilai RM266.64 serta cukai sebanyak RM1,231.21 daripada peniaga kerana melakukan penjualan rokok secara tidak sah.

Beliau berkata, tiga individu dari kedai berasingan berumur lingkungan awal 20-an ditahan di sekitar Pelabuhan Klang.

Azis turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau 03-31792321.

KDRM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan ganjaran dalam bentuk wang akan diberikan bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes, katanya.

Artikel Lain