suria

Koperal Polis Bebas Dua Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat daripada dua pertuduhan rasuah, empat tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Wan Mohd Noorisham Wan Yaakob memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas T.Arthimoolan, 48.

Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Arthimoolan sebelum ini dibicarakan atas tuduhan bersetuju terima bagi dirinya suapan RM1,000 dari pemilik Syarikat Kitaran Global Industri (M) Sdn Bhd, Kenny Gan Kian Aun bagi membebaskan empat pekerja Kenny yang ditahan polis kerana tidak mempunyai permit kerja.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Alam Megah, Jalan Jenderam 28/22, Persiaran Kuala Langat dekat sini, kira-kira pukul 8.45 malam pada 19 Januari 2007.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa secara rasuah cuba memperoleh bagi dirinya suapan RM2,000 daripada Kenny sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Syarikat Kitaran Global Industri yang beralamat di Lot 1238, No: 67, Jalan Bukit Kemuning, Batu 7 1/2, Seksyen 24 di sini kira-kira pukul 3.15 petang pada 20 Januari 2007.

Jika sabit kesalahan, Arthimoolan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Roziza Sidek sementara Arthimoolan diwakili peguam Peter Siew. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain