suria

Seramai 9,239 Pelajar Dapat Semua A Dalam SPM 2010

PUTRAJAYA: Seramai 9,239 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia telah mencatatkan gred keputusan cemerlang dengan mendapat semua A bagi setiap mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Keputusan tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 1,252 orang calon berbanding 7,987 pelajar pada tahun 2009.

Ia diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul Ghafar Mahmud semasa mengumumkan analisis keputusan SPM di Kementerian Pelajaran di sini, Rabu.

Beliau berkata keputusan tersebut merupakan keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun.

Daripada jumlah tersebut, seramai 363 calon berjaya mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 214 calon pada 2009.

"Calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua pelajaran juga meningkat iaitu daripada 60,114 calon kepada 68,114.

"Bilangan calon yang memperoleh pencapaian semua A, meningkat bagi calon yang mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran sementara pencapaian calon yang mendapat semua A bagi yang mengambil 11 dan 12 mata pelajaran adalah menurun,” katanya.

Jelasnya, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran turut menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009. "Jadi calon yang mendapat gred Cemerlang Tertinggi adalah masih terlalu sedikit berbanding bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran iaitu 2,773 calon," katanya.

Abdul Ghafar berkata pencapaian calon sekolah swasta dan calon sekolah tajaan agensi selain kementerian, seramai 40 calon berjaya memperoleh gred cemerlang semua mata pelajaran berbanding 41 calon pada 2009.

Bagi calon yang berkeperluan khas pula, 319 calon berjaya mendapat sijil SPM dan daripada jumlah itu tujuh calon mendapat keputusan semua A bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Beliau turut mengesahkan bahawa pencapaian mata pelajaran pula 55 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang, dengan 39 subjek tidak berubah manakala sembilan lagi mencatatkan penurunan.

"Bagi gred kepujian (B+,B,C+,C) sebanyak 18 mata pelajaran meningkat, 43 stabil manakala 42 menurun dan kategori lulus pula (D dan E) sebanyak lima mata pelajaran adalah stabil dan 31 lagi menurun melebihi tiga peratus,” katanya.

Mengenai pencapaian sekolah pula, Abd Ghafar berkata sebahagian besar sekolah dirumuskan berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan manakala hanya 66 sekolah memperoleh pencapaian berpotensi.

Beliau berkata pencapaian calon mengikut lokasi turut meningkat dan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan sebanyak 0.18 Gred Purata Nasional (GPN).

"Pencapaian calon luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains adalah lebih baik daripada pencapaian di bandar sementara jurang prestasi dalam Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral masih perlu dipertingkatkan.

"Semua pihak yang terlibat khususnya para pentadbir dan guru-guru sekolah berjaya memainkan peranan masing-masing dengan efektif dan efisien hingga dapat melahirkan pelajar yang berupaya mencapai kecemerlangan akademik," katanya.

Ditanya mengenai senarai nama pelajar dan sekolah yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2010, Abdul Ghafar berkata satu majlis khas akan diadakan di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur pada 1 April ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan majlis berkenaan.

Artikel Lain