suria

Anggota ATM Yang Tamat Perkhidmatan Ditawar Sertai Polis

TEMERLOH: Ini ada berita baik untuk bekas-bekas tentera. Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah menamatkan perkhidmatan akan ditawar untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menyatakan demikian menegaskan, penyerapan jawatan ke dalam PDRM selepas tamat tempoh perkhidmatan selama 21 tahun itu merupakan satu usaha transformasi kerajaan dalam menjamin keselamatan negara dan kebajikan bekas tentera.

"Di bawah program transformasi ini, kita (ATM) telah menjalinkan hubungan dengan PDRM dengan mengadakan penyerapan jawatan selepas tamat tempoh perkhidmatan tentera terutama di kalangan lain-lain pangkat untuk berkhidmat dalam PDRM," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Pertahanan bersama veteran ATM dan keluarga di Dataran Ketumbit di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini, seramai 400 bekas tentera memohon untuk menyertai PDRM.

Ahmad Zahid berkata, program itu merupakan satu daripada lima bidang kerjasama membabitkan kedua-dua pasukan keselamatan negara.

Beliau menambah, ATM-PDRM turut menjalin kerjasama melalui program kawalan sejak November tahun lepas dengan projek perintisnya bermula di 15 kawasan rondaan yang telah dikenal pasti.

Dua pusat latihan ATM juga digunakan untuk melatih rekrut polis serta mengadakan program bersama untuk memantapkan kerjasama itu, katanya.

Selain itu, ATM turut mengambil alih tugas Pasukan Gerakan Am (PGA) di 89 depot sempadan.

"Kita harap kerjasama ini akan memberi kesan dalam memerangi jenayah, polis diberi tugas menangani jenayah berat, tugas-tugas lain dijalankan ATM," katanya.

Artikel Lain