suria

762 Pelajar Malaysia Dijadualkan Berlepas Pulang Malam Ahad

JEDDAH: Seramai 762 pelajar Malaysia yang ditempatkan di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj di sini akan menjadi kumpulan pertama berlepas pulang ke tanah air dengan penerbangan pertama dijadual pukul 6.30 petang Ahad waktu tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata seramai 320 orang akan menaiki penerbangan AirAsia itu, diikuti 442 lagi yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dijadual berlepas pukul 8 malam (waktu tempatan).

Kedua-dua penerbangan ini dijangka tiba serentak di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 9.30 pagi, katanya kepada kumpulan pertama pelajar yang akan berlepas pulang, di sini pada Ahad.

Jamil Khir juga memberitahu kumpulan pelajar itu bahawa ketibaan mereka akan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata bagi pelajar yang tinggal di luar Kuala Lumpur, mereka boleh bermalam di Institut Latihan Islam Malaysia di Bangi dan Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman.

Boeing 747 yang disediakan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Putera Turki Abdullah al-Saud, beliau berkata waktu penerbangan kedua-dua pesawat itu akan diselaraskan oleh MAS.

Jamil Khir juga berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang memberikan visa sewaktu ketibaan untuk tempoh tujuh hari kepada semua pelajar Malaysia yang dipindahkan dari Mesir.

Sementara itu, seorang penuntut yang akan pulang menerusi kumpulan pertama tersebut, Akmal Firdaus, 25, berkata beliau mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air berikutan keadaan yang tidak menentu di Kaherah, Mesir.

"Saya dan rakan-rakan mahu balik kerana risaukan keselamatan kami di sana, banyak kedai-kedai telah dibakar oleh para perusuh dan ada masih tidak beroperasi lagi selain daripada harga barangan makanan yang dijangka melambung tingi," kata pelajar tahun tiga Pengajian Usuludin, Universiti Al-Azhar itu kepada pemberita Malaysia di sini.

Akmal yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata kehidupan seharian mereka sepanjang waktu itu juga agak sukar kerana bekalan makanan dicatu oleh pekedai.

Rakannya Abdul Salam Dahari, 23, dari Samarahan, Sarawak, cuma mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana menjadi antara yang terawal kembali ke tanah air.-BERNAMA

Artikel Lain