suria

Akses Maklumat Pelajar Tajaan Mara Di Mesir Melalui Talian Bilik Gerakan

KUALA LUMPUR: Maklumat mengenai perpindahan dan keadaan terkini pelajar-pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di negara bergolak Mesir kini boleh diakses melalui bilik gerakannya di Kuala Lumpur yang beroperasi 24 jam.

Ketua Pengarahnya, Ibrahim Ahmad berkata bilik gerakan yang diaktifkan sejak Isnin itu boleh diakses melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 11 malam dan juga talian mudah alih yang beroperasi 24 jam.

"Bagi talian hotline orang awam boleh menghubungi 03-26936666, 03-26943366 dan 03-26946622, manakala bagi talian mudah alih, boleh menghubungi Dr Syed Anwar Aly di 019-2646253, Rohayah Mohd Zain di 019-3883121, Kamis Mahawi di 017-3219756 dan Wan Mariam di 019-2578207," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata Mara juga telah menghantar tiga orang pegawai ke Jeddah dan dua orang ke Mesir bagi tujuan memberikan bantuan dari segi keperluan logistik, kebajikan, keselamatan dan juga khidmat kaunseling kepada 1,150 pelajar tajaan MARA dan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan di sana.

Selain itu, Ibrahim berkata pihaknya juga telah menyediakan tempat penginapan bagi pelajar-pelajar itu di German Malaysian Institute di Bangi sepanjang tempoh evakuasi itu bagi mereka yang memerlukan, setibanya mereka nanti.

"MARA juga telah mengatur pegawai-pegawai untuk bersiap sedia bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di TUDM Subang untuk membantu urusan pengangkutan dan penginapan bagi pelajar yang tiba di tanah air," katanya.

Tambah beliau, bagi orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman web MARA di www.mara.gov.my. Sehingga kini, seramai 4,914 pelajar Malaysia telah selamat dipindahkan ke Jeddah dan kumpulan pertama kira-kira 400 orang akan tiba di tanah air kira-kira 9 pagi Isnin nanti.-BERNAMA

Artikel Lain