suria

Banjir Di Negeri Sembilan, Pahang Dan Melaka Semakin Pulih

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa negeri kini kian pulih dengan semakin ramai mangsa yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala pusat pemindahan pula ditutup.

Di NEGERI SEMBILAN, hanya satu sahaja pusat pemindahan yang masih dibuka di negeri ini ekoran keadaan banjir yang bertambah baik.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata sehingga pukul 11 pagi ini seramai 508 orang daripada 135 keluarga berada di pusat pemindahan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Gemas di daerah Tampin.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri ini berkurangan kepada 840 orang daripada 2,265 orang petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Temerloh bagaimanapun terus merekodkan peningkatan mangsa banjir iaitu 493 orang daripada 124 keluarga berbanding 457 petang semalam.

Katanya mangsa adalah dari Kampung Batu Kapor seramai 389 orang, Kampung Sungai Buloh Mentakab (102) dan Taman Mutiara Indah (2).

Menurutnya jumlah mangsa banjir di daerah Rompin pula berkurangan kepada 347 orang daripada 86 keluarga berbanding 1,808 petang semalam.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Rekoh seramai 168, Bukit Serok (127), Kampung Aur (37), Kampung Denai (9) dan Kampung Lubuk Batu (6).

Sementara itu, semua jalan utama yang ditutup sebelum ini, kini boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Di MELAKA, keadaan banjir bertambah baik dengan 461 orang berada di pusat pemindahan berbanding 528 orang pada pukul 6 petang semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 446 orang daripada 98 keluarga berada di dua pusat pemindahan di daerah Jasin.

Lima belas orang daripada lima keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di daerah Alor Gajah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain