suria

Jenazah Tan Sri Dol Ramli Dikebumi Di Taman Kosas

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Pengarah Penyiaran Tan Sri Dol Ramli dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, di sini pada Rabu.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Surau Bukit Ampang sebelum dibawa ke tanah perkuburan dari kediamannya di Jalan Mutiara, Taman Bukit Ampang.

Antara yang turut menziarah jenazahnya hari ini ialah bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarah Finas Datuk Mohd Zain Hamzah dan Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Dol, 88, yang juga Pengurus Besar Bernama dari 1975 hingga 1980 meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 8 malam tadi kerana mengalami masalah lemah jantung.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Che Kamilah Marzuki, 84, dan tiga anak lelaki dan dua perempuan.

Anak keempat beliau, Aziz, 58, berkata sebelum bapanya dimasukkan ke IJN Ahad lepas, beliau sempat memanggil semua ahli keluarga bagi mengadakan perjumpaan keluarga.

"Bapa saya memanggil semua anak cucu untuk balik berjumpa dengannya (dan) satu perjumpaan keluarga diadakan, yang mana saya jadi setiausaha mencatat segala amanat dan nasihat. Kami tak sangka itu merupakan perjumpaan keluarga terakhir bersamanya," katanya kepada pemberita.

Isteri Dol, Che Kamilah, berkata suaminya merupakan seorang yang penyayang tetapi sangat tegas dalam aspek pendidikan anak-anaknya.

"Walaupun tegas, tapi pada cucu-cucunya, beliau sangat manjakan mereka. Kehilangannya memang amat dirasai kerana kami sekeluarga amat rapat," katanya.

Zainuddin pula berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kerana sewaktu hayatnya beliau merupakan insan yang banyak memberi sumbangan kepada negara, terutamanya dalam bidang penyiaran.

"Tan Sri merupakan seorang pejuang, penyiar, wartawan dan ahli seni yang telah banyak memberi sumbangan berguna, umpamanya mencipta lagu-lagu kebangsaan, malah beliaulah yang memperkenalkan istilah 'perang saraf' kepada rakyat suatu ketika dahulu," katanya.

Mohd Zain pula berkata, Allahyarham adalah anak Melayu pertama memegang jawatan Ketua Radio Malaya selepas persaraan David Lyttle pada 1961.

"Penglibatan Allahyarham dalam bidang penyiaran amat membanggakan, beliau umpama bapa penyiaran negara," kata Mohd Zain manakala Abdul Rahman berkata sumbangan Dol kepada Bernama antaranya ialah pembinaan Wisma Bernama serta menubuhkan beberapa pejabat negeri Bernama di seluruh negara.

"Jasa beliau adalah dengan mengusahakan pembinaan bangunan Bernama, dengan memohon sendiri tanah kerajaan sehingga terbinannya Wisma Bernama setinggi 15 tingkat di Jalan Tun Razak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut